"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Rabu

Pencen : Jangan sekadar gimik

Membaca artikel Utusan Malaysia tersebut saya amat berasa tersentuh dan berbesar hati atas langkah yang pihak kerajaan telah ambil bagi mengenang jasa dan yang terpenting mengurangkan beban kos sara hidup bekas-bekas pesara kerajaan yang juga merasai beban kenaikan kos ekonomi walaupun saya tidak mempunyai adik beradik yang pernah bekerja di dalam kerajaan. Langkah ini adalah wajar dan perlu samarata dan yang terpenting sampai kepada golongan terbabit.


Kerajaan belanja RM9 bilion untuk pencen tahun depan
UTUSAN MALAYSIA 24/12/2008


PUTRAJAYA 24 Dis. - Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM9 bilion termasuk peruntukan tambahan RM1.3 bilion pada tahun depan bagi melaksanakan beberapa dasar baru skim pencen kakitangan awam yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Yeow Chin Kiong berkata, selaras perubahan dasar tersebut, seramai 590,000 pesara dan penerima pencen terbitan akan menikmati kenaikan kadar pembayaran pencen sehingga 71.4 peratus mulai Januari tahun depan.


Beliau berkata, dasar baru yang ditunggu-tunggu oleh kakitangan awam sejak 28 tahun itu antara lainnya membabitkan penghitungan pencen sehingga maksimum 30 tahun tempoh perkhidmatan berbanding sekarang 25 tahun, pemansuhan penyusutan pencen terbitan kepada 70 peratus, pemansuhan syarat pemastautinan dan ex-gratia terbitan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi penjelasan opsyen semula skim pencen dan ex-gratia terbitan di sini hari ini.



Mendengar berita baik ini mengingatkan saya kepada bekas-bekas pejuang kemerdekaan yang bertugas sebagai polis dan tentera terutamanya golongan seperti SC dan Force 136 sebelum merdeka. Mereka ini telah berjuang kepada kemerdekaan Malaysia namun apa yang mereka dapat selepas merdeka. Mereka tidak diikhtiraf di bawah skim gaji kerajaan apatah lagi menerima pencen. Malang sungguh nasib mereka. Cuma sekeping sijil penghargaan dan selama hayat mereka selepas merdeka dalam dua tiga kali sahaja mereka dipanggil untuk menerima saguhati dalam jumlah yang teramat kecil sekadar melepas batuk di tangga.

Kebanyakkan mereka selepas merdeka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dengan bekerja sebagai petani dan pekebun. Hampir separuh daripada mereka telah meninggal dunia. Saya dimaklumkan baru-baru ini YAB Dato' Seri IR Nizar telah berusaha memberi bantuan kepada golongan ini yang mana kebanyakkan dari mereka berada di Perak. Cuma bantuan perlu dipercepatkan memandangkan usia mereka yang agak lewat. Sekadar berpesan.

Semoga Allah merahmati usaha YAB Dato' Seri walaupun tiada liputan ke arah usaha ini. Ucapan tahniah dari saya kepada semua bekas pesara kerajaan, manfaatkan sebaik mungkin wang pencen anda, kepada yang masih bekerja, tingkatkan kualiti kerja anda.

Rujuk:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Polis_%26_Tentera&pg=te_05.htm