"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Sabtu

Perjuangan Minah Indonesia

Salam ukhwah,

Saya agak kurang berminat dengan cara perjuangan saudara Hishamudin Rais, biar beberapa kali pernah bersua. Mulanya ketika zaman belajar, saya diajak pergi minum oleh beberapa sahabat di sebuah gerai nasi lemak di Bangsar Utama yang kemudiannya di kenali dengan panggilan "University of Bangsar" oleh para reformis. Bersama dengan beberapa pelakon utama "Teater Tok Ampu". Kemudian bersua dalam beberapa program "Unjuk Rasa" dan akhirnya di sebuah banglo mewah di Ampang bagi program alumni MCOBA, sekadar meneman seorang rakan.

Mungkin kerana personalitinya yang nampak kebaratan menyebabkan saya kurang berminat untuk mengenalinya dengan lebih dekat, tambahan selepas kekecohan di Stadium Kelana Jaya satu ketika dahulu. Bagaimanapun saya selalu mengikuti tulisan beliau melalui beberapa artikel tulisannya. Antara yang menarik minat saya ialah artikel ini.

Agak menarik dan jelas maksud kebenarannya.... (Malaysiakini)


Kalaulah saya juga Minah Indonesia
Hishamuddin Rais | Feb 7, 09 3:59pm

Sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wujud atau mati, orang awam di negara kita akan terus bercakap dalam Bahasa Melayu.

Manusia di mana-mana pun dalam dunia ini perlu berhubung antara satu dengan yang lain. Bunyi yang keluar dari mulut dan tekak mereka menjadi cara terbaik untuk berhubung. Bunyi ini akan menyampaikan apa yang ada dalam fikrah mereka.

Jutaan tahun dahulu, bunyi-bunyi ini tunggang-langgang sifatnya. Masa dan keperluan untuk berhubung sesama manusia telah mengembangkan bunyi ini dari satu susuk ke satu kumpulan hingga ke satu daerah dan mukim. Kemudian ia menjadi tersusun, bercambah dan berkembang – akhirnya bunyi ini dipanggil bahasa.

Semua ini berlaku tanpa dana daripada Kementerian Pelajaran atau DBP.

Heboh-heboh Bahasa Melayu mula kedengaran kembali di awal tahun ini. Heboh-heboh bahasa dalam negara kita ini macam perangai kelab dangdut: kejap-kejap ada, kadang-kadang hilang. Tetapi selalunya hilang entah ke mana. Macam berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Pernahkah para pembaca terdengar nama Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Pena (Persatuan Penulis Nasional) dan beratus-ratus jenis kumpulan yang mengakui bahawa ahli-ahlinya bakal penulis, penulis dan sasterawan?

Sesiapa yang tidak pernah mendengar, tidak mengapa. Kita tidak akan dimarahi oleh menteri dalam negeri Syed Hamid Albar atau disaman oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Nama-nama yang saya tulis di atas itu badan-badan sasterawan Melayu yang "berani" mengakui diri mereka sebagai pewaris, pengembang dan penjaga Bahasa Melayu. Saya cukup sangsi dengan pengakuan badan-badan ini. Telah lama saya perhatikan.

Badan-badan ini lebih banyak dilihat sebagai pembodek kuasa daripada berjuang untuk menegakkan Bahasa Melayu.

Untuk saya, susuk ulung yang trampil dalam mengembangkan Bahasa Melayu pada ketika ialah Minah-minah Indonesia dan bukan badan-badan sasterawan ini.

Cuba perhatikan: Pada ketika ini Minah-minah Indonesia ini berada di setiap pelusuk kota-kota besar di negara kita ini.

Mereka datang ke sini untuk bekerja mencari nafkah. Mereka tidak mengira kerja apa pun - semua sanggup mereka lakukan. Mereka tidak memilih siapa majikan mereka. Mereka tidak menilai apa agama majikan mereka.

Mereka tidak menghiraukan di lubang mana mereka akan bekerja. Inilah sikap dan nilai kaum buruh, kaum proletariat, yang dibawa oleh Minah-minah Indonesia ke sini.

Wajib disedari bukan semua mereka ini Melayu. Ertinya bukan semua bahasa ibunda mereka Bahasa Melayu. Ada Minah Jawa, ada Minah Sulawesi, ada Minah Ambon, ada Minah Madura.

Semua suku kaum ini memiliki bahasa khusus masing-masing – bahasa ibunda mereka tersendiri. Tetapi apabila memburuh dan membanting tulang di negara kita, mereka menggunakan Bahasa Melayu.

Perhatikan apa yang akan terjadi apabila mereka menjadi pembantu rumah di sebuah rumah Tioghua kelas menengah. Minah-minah Indonesia ini tidak mengetahui Bahasa Inggeris.

Mereka wajib berhubung, justeru pastilah Bahasa Melayu yang akan digunakan di antara si Minah dengan majikannya.

Tidak dapat tidak majikannya, yang mungkin selesa dengan Bahasa Inggeris, kini wajib bertutur dalam Bahasa Melayu.

Kehadiran si Minah ini telah memaksa keluarga Tionghua kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu. Keadaan ini lebih hebat daripada kempen-kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan anjuran kerajaan yang hanya sibuk di poster-poster dan kain-kain rentang.

Biasanya majikan dari kelas menengah memiliki sikap tak ambil endah terhadap Bahasa Melayu. Jadi, apabila si pembantu ini datang, maka untuk pertama kalinya si majikan "terpaksa" mempelajari kembali cara yang betul dan tepat untuk bertutur dalam Bahasa Melayu.

Tidak ada peranan DBP, Kementerian Pelajaran, Teras (Teras Pengupayaan Melayu) atau sasterawan Melayu di sini. Semua pengajaran Bahasa Melayu ini berjalan tanpa paksaan. Semuanya berjalan tanpa akta Parlimen atau riuh-rendah daripada Gapena.

Jika si Minah ini menjadi babu menjaga anak, maka peranan babu ini cukup penting. Si Babu yang mendodoikan anak kecil ini akan lebih banyak berguli dan berjenaka dengan si anak kecil.

Malah jika diambil nisbah masa, waktu si babu bersama anak lebih banyak berbanding dengan waktu si ibu bersama anak. Si babu Minah Indonesia ini pastilah bertutur dalam Bahasa Melayu yang tersusun. Bunyi yang keluar dari tekak dan mulut si babu inilah yang akan sentiasa didengar oleh telinga si anak kecil.

Inilah bukti si babu ini sedang menjadi pengembang Bahasa Melayu tanpa ada laporan huhah huhah dalam Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat. Atau laporan daripada Kementerian Pelajaran.

Lihat apa yang sedang terjadi di Hong Kong. Di kota pulau ini, tanpa dirancang, Tagalog menjadi bahasa kedua rakyat di sana.

Ia berlaku kerana hampir semua babu dan pembantu rumah di Hong Kong didatangkan dari Filipina. Tidak dapat tidak anak-anak kecil yang dijagai oleh Minah Filipina ini akan fasih berbahasa Tagalog.

Saya juga sering ke kedai makan dan ke restoran Cina. Saya perhatikan banyak, malah hampir semua, restoran Cina di kota Kuala Lumpur ini mengambil pekerja Minah Indonesia.

Ada yang bertugas di dapur, ada yang membuat minuman dan ramai yang menjadi pelayan tamu. Minah-minah ini tanpa segan-silu bekerja dalam restoran Cina.

Sekali lagi saya perhatikan betapa pentingnya peranan mereka. Kalau Minah ini menjadi pelayan di restoran Cina, sudah pasti para pelanggan Cina yang akan dilayani. Si Minah akan mengambil pesanan. Si Minah akan membersihkan meja. Si Minah akan menyusun tempat duduk. Si Minah ke dapur menghantar pesanan. Beginilah pekerjaan pelayan.

Tetapi ada satu lagi pekerjaan yang saya anggap lebih suci tetapi tidak dapat dinilai dengan ringgit dan dolar – si Minah pelayan di restoran Cina ini penyebar Bahasa Melayu yang ulung.

Saya perhatikan Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah Indonesia ini cukup teratur. Lenggok dan lagunya bahasa baku.

Si Minah ini tidak pernah akan mengubah telo bunyi yang akan keluar dari mulut dan tekak mereka. Bunyi-bunyi yang dikeluarkan adalah sama – tidak mengira apakah si pelanggan seorang apek berseluar pendek atau seorang taukeh berjaket dan bertali leher.

Malah daripada pemerhatian saya, Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah ini lebih baik susunan ayatnya daripada pertuturan kelam bin kabut dan lintang bin pukang yang terhambur dari tekak para pengacara televisyen dan radio kita.

Saya pendukung penggunaan Bahasa Melayu. Saya bukan pembodek bahasa – apabila ada kempen-kempen Bahasa Kebangsaan dijalankan, maka saya tidak akan "menonjol-nonjol" untuk masuk ke "bingkai" untuk berdiri di sebelah menteri.

Saya tidak akan memakai baju batik berlengan panjang untuk membaca-baca sajak yang saya sendiri pun tidak memahami hujung pangkal. Untuk saya, semua ini kerja bodoh.

Bahasa Melayu, untuk saya, bukan Bahasa Kebangsaan. Saya tidak memiliki nilai "kebangsaan". Bahasa Melayu milik anak semua bangsa. Bahasa Melayu adalah bunyi-bunyi dari tekak dan mulut untuk tujuan kita berhubung antara satu sama lain.

Bunyi-bunyi ini wujud untuk kita berhubung, mengenal, menyambung nilai dan menyambung sejarah kita.

Bahasa Melayu, untuk saya, "bahasa strategik untuk perubahan". Saya mengamal, menyebar dan mencanangkan Bahasa Melayu bukan kerana saya Melayu tetapi kerana saya yakin hanya penggunaan Bahasa Melayu ini sahaja yang akan dapat menolak terbuka apa sahaja bentuk perubahan yang diinginkan di negara kita ini.

Kalau sesiapa yakin tentang peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan, maka mereka wajib memiliki nilai-nilai seperti Minah-minah Indonesia yang sedang memburuh dalam negara kita sekarang.

Saya cukup menghormati Minah-minah Indonesia ini – untuk saya - merekalah pejuang Bahasa Melayu yang tulen.

Meremang bulu tengkuk, dan besar kemungkinan saya juga akan muntah, jika saya disabitkan dengan gerakan Bahasa Kebangsaan. Saya lebih berbesar hati dan berbangga jika saya juga dapat dianggap sebagai Minah Indonesia.

Jumaat

Tragedi Perak: UMNO@BN "Checkmate"


Tiada istilah yang dapat digambarkan kepada UMNO@BN ketika ini, di kala kemarahan rakyat kepada makhluk2 ini terlalu memuncak. GOBLOK! TIDAK BERMARUAH!

Perak masih dalam keadaan tergantung dari segi pentadbiran. Bagi rakyat kekeliruan makin terserlah dalam sebarang proses permohonan atau tuntutan. Bagi peniaga dan pelabur, dengan siapa perlu berurusan bagi sebarang ikatan perundangan serta MoU yang bakal disepakati. Mahu berjumpa Zamry takut perjanjian terbatal kerana dia dilantik atas kapasiti Menteri Besar Haram melalui rampasan kuasa. Mahu berjumpa DS Nizar, beliau masih dalam proses perundangan untuk mengembalikan kuasa beliau. Ini amat menyukarkan.

Bahana pengantungan oleh YB Speaker Sivakumar semakin terasa, kuasa sudah ditangan UMNO@BN tetapi tidak boleh digunakan. Bagi Pakatan Rakyat pula, kuasa dirampas, bagaimana mahu menjalankan tanggungjawab. Rakyat yang menjadi mangsa, yang susah rakyat. Semuanya berpunca dari kerakusan UMNO@BN untuk kekal memerintah. Kekal memerintah atas asbab kekal mewah.

Isu yang dibangkitkan selepas "rampasan kuasa" tersebut adalah isu penderhakaan kepada Raja-Raja Melayu padahal isu "rampasan kuasa" itu cuba ditutup. Sejak bila UMNO@BN menjadi pembela Raja-Raja Melayu. Setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan dari Baginda Tuanku Azlan melainkan komen dari beberapa pencacai yang tidak bermaruah. Baginda seolah terus senyap selepas "rampasan kuasa" tersebut. Rasanya baginda ada sebab tertentu untuk berbuat begitu dan saya amat yakin komen yang keras di dalam "Buku Pelawat" di laman web baginda bukan tulisan dari penyokong Pakatan Rakyat melainkan provokasi dari pihak berkepentingan.

Khabar mengenai kunjungan wakil UMNO@BN ke England untuk bertemu Queen's Counsel (QC), bagi membincangkan mengenai kes Perak itu membuktikan UMNO@BN telah "checkmate" dalam rampasan tersebut.

Semoga situasi di Perak ini akan tamat sesegera mungkin, kerana selagi situasi ini berterusan, rakyat makin terhimpit dan Perak akan mundur tanpa sebarang pelaburan dalam masa terdekat ini.

Pesanan saya, pastikan semua perbelanjaan yang dibuat ketika Menteri Besar Haram ini memerintah direkodkan sebagai satu kecurian dan rompakan oleh kerajaan haram UMNO@BN.

Tak sabar rasanya menanti YB dari tempat kelahiran bonda saya di Pasir Panjang Laut memerintah semula. Insya Allah......



Ahad

Pendedahan Isu Tanah Di Perak



"Oleh : Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak.

Assalamualaikum, Kepada semua yang telah memberi komen tak kira manis ke pedas, kutuk ke puji ke,dsbnya, saya ambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kerana sudi kunjung dan beri komen serta kritikan.

Sebenarnya dalam mesyuarat exco kerajaan PR Perak ini ada di hadiri oleh 3 orang pegawai kanan yang cukup berpengalaman sebagai Ex-Officio.


Ini dibuat bagi membimbing serta menasihati semua ahli MMK supaya tidak buat keputusan yang berlanggaran atau bercanggah dengan setiap perundangan dan ketetapan negara dan negeri.
Oleh yg demikian setiap keputusan yang dibuat adalah melalui proses yang menyeluruh dan merujuk kepada mereka.

Kedua ,Semua ketua jabatan teknikal negeri memberi komen dan input tentang setiap permohonan terutama hal ehwal tanah, perlombongan, pelaburan dsbnya. Mereka juga akan menasihati jemaah exco dalam membuat keputusan.

Ketiga, setiap kali sebelum bermesyuarat exco, semua kertas baru untuk kelulusan atau penolakan akan dipersembahkan kepada kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak atau Raja Muda , Raja Dr Nazrin Shah. Lagipun, setiap keputusan yang dibuat pada mesyuarat exco sebelumnya juga akan dibentang minitnya kepada DYMM Sultan.

Tohmahan sahabat mengenai "gadai tanah" kpda Cina atau seumpamanya tidak berasas sama sekali dan hanya menunjukan kurang hemah serta bijak dalam membuat dakwaan tersebut. Sekali gus memperkecilkan kewibawaan semua institusi kerajaan yang terlibat.

Untuk pengetahuan semua, saya ingin menyatakan sedikit maklumat yang mana puluhan ribu ekar tanah kerajaan serta tanah rizab melayu yang di gadai dan dijual kepada kaum lain oleh kerajaan terdahulu sebagaimana UMNO menggadaikan Singapura, Pulau Pinang, Batu Putih, Sebahagian Pulau di Langkawi atau Pulau Pangkor Baru.

Sebahagian tanah kerajaan dan rizab melayu yang melayang ketangan cina akibat kecerdikan kerajaan terdahulu ialah:
  1. 22,000 ekar ( Ya! Dua Puluh Dua RIBU ekar) tanah kerajaan di gadai kepada gergasi KLK di Lekir, Manjung.
  2. 5,000 ekar di Bruas
  3. 1500 ekar kepada MCA di Bandar Baru , Kampar (UTAR)
  4. 12,000 ekar kepada semua petani cina di Coldstream , Bikam, Bidor
  5. Dan banyak lagi jumlah kecilan diseluruh negeri.
  6. 200 ekar tapak kilang simin Perak Hanjoong (sekarang YTL kerana di gadai oleh pemimpin UMNO kepada YTL! )
Ini tanah rizab melayu di Padang Rengas, Kuala Kangsar dekat Hiway!Kerajaan PR berjaya menghentikan penggadaian tanah kerajaan di beberapa lokasi komersial ditengah bandar ipoh, taiping, bidor , kinta, dan Perak Tengah pada pertengahan bulan Mac 2008, tarikh kerajaan PR ambil alih, oleh kerana tanah tersebut telah dijanjikan kepada towkay- towkay jika sekiranya BN kembali berkuasa pada 9 Mac 2008 (selepas PRU-12).

Sebenarnya penganugerahan hak milik selamanya kepada 102,000 lot kampong tersusun (kebanyakan melayu), 47,000 lot kampong baru (kebanyakan cina) dan sebilangan kecil kampong adat (orang asli), adalah janji PAS dalam manifesto PRU-12.Bukan janji DAP!. DAP tiada manifesto ketika itu di Perak.

Seandainya semua keluarga kampong baru (47,000) menerima anugerah hak milik selamanya, ianya hanya melibatkan sejumlah tanah tak lebih dari 3000 ekar . Ya! tak lebih tiga ribu ekar.

Oleh kerana tanah lot di kampong baru jauh lebih kecil saiznya. Kerajaan akan memperolehi tanmbahan revenue (oleh kerana kenaikan kadar premium tanah ) sejumlah RM330 juta. Nilaian tanah akan menjadi RM1.6 billion dipasaran dan tanah tersebut boleh disandarkan ke bank komersial oleh tuan milik jika di tukar kepada hak milik selamanya.

Mereka boleh buat pinjaman dan membina rumah yang kekal dan cantik kerana tiada kebimbangan tanah mereka akan dirampas dimasa akan datang. Ini cuma kampong baru, belum lagi kampong tersusun!

Cuba bandingkan dengan jumlah keluasan tanah yang digadai oleh kerajaan dahulu.! Kerajaan Perak tiada dapat apa-apa bahkan kerugian berjuta-juta dan putih biji mata kita orang melayu sebagaimana melihat "kecerdikan " pimpinan UMNO gadai Singapura, Penang dll.

Saya amat berharap menghebahkan perkara sebenar kepada rakyat Perak khususnya kaum saya orang melayu, akan pengkhianatan pimpinan UMNO sewaktu mereka berkuasa dahulu..Namun hajat ini tidak kesampaian kerana TM Radio Perak FM tak bagi kerana di milik UMNO, (agaknya!).

sumber: Ilham Najmi

Kempen boikot majlis anjuran kerajaan haram Perak

Salam ukhwah,

Bermula pada detik ini, saya menyeru semua rakyat Perak khususnya, yang cintakan kedaulatan tanah air ini agar memulakan kempen memboikot sebarang majlis dan keraian yang diadakan di Negeri Perak bermula hari ini.


Kerajaan baru yang ditubuhkan ketika ini adalah hasil taktik kotor musuh rakyat yang cuba mengenepikan suara rakyat sepertimana tertubuhnya negara haram Israel laknatullah suatu masa dahulu.

Daripada rakan-rakan yang berada di dalam UMNO@BN juga hampa dan kecewa dengan tindakan tersebut yang jelas merosakkan prestasi UMNO@BN yang memang dalam keadaan yang tenat ketika ini.


Mereka turut mengecam tindakan Najib yang terlalu gopoh dan goblok mengambil tindakan drastik menerima ahli yang tidak bermaruah untuk bersama mereka. Ini menunjukkan seolah-olah UMNO@BN sentiasa menerima mereka yang bergelar penjenayah sebagai ahli.


Sebelum ini juga, UMNO@BN banyak tersilap langkah dengan mengekalkan mereka yang sentiasa mempunyai kes dan skandal sebagai pemimpin, ditambah lagi dengan ”rampasan kuasa” yang jelas menunjukkan kejahatan UMNO@BN di mata rakyat.


Dr Zambry yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang dianggap tidak sah oleh rakyat amat mendukacitakan dan menjatuhkan maruah seorang yang berpendidikan tinggi kerana akur dengan taktik kotor UMNO@BN.

Khamis

Tragedi Februari 2009, Perak : Lompat Vs Hijrah

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”








Memang sesuai permasalahan yang berlaku di Perak sehari dua ini dinamakan sebagai "tragedi". Satu tragedi yang amat memilukan bagi rakyat yang cintakan perubahan, dari satu corak pemerintahan yang zalim dan tidak bermaruah ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Bukan seperti retorik "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" yang akhirnya lebih kepada peningkatan "Jembalang". Mungkin definasi ini tidak sesuai bagi pemimpin politik tetapi bagi rakyat ia merupakan tragedi apabila kerajaan yang mereka harapkan tiba-tiba dirampas begitu sahaja.

Rakyat yang cuba sedaya upaya untuk berhijrah pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, akhirnya dikhianati oleh 4 "jembalang" yang penuh kekotoran dan kejahilan. Melompat dengan penuh angkuh dan tidak bermaruah sedangkan perut mereka memboyot, penuh dengan hasil rasuah. Tidakkah mereka sedar, perut yang sedang memboyot itu jika terkena duri maka akan terburailah segala kekotoran dan najis yang mereka cuba pendam selama ini.

Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat dan menjadi wakil rakyat Bebas. Seorang lagi, Dato' Nasaruddin Hashim (UMNO-Bota) yang menyertai PKR selama 11 hari juga telah mengisytiharkan kembali semula kepada Umno.

Apa yang pelik ialah 2 Adun yang hilang tanpa pengetahuan keluarga selama beberapa hari tetapi tiba-tiba muncul dengan alasan cuti sakit. Seorang lagi sekejab keluar sambil mengutuk sekeras-kerasnya parti sebelumnya tiba-tiba masuk balik. Yang seorang lagi pula, entah apa masalahnya tiba-tiba ikut sama.

Media begitu meriah pada hari ini seolah-olah merayakan kemenangan Barisan Nasional di Perak. Seolah-olah cara mereka itu amat hebat, berjaya menawan semula Negeri Perak, biar dengan cara kotor sekalipun tanpa memikir perasaan rakyat jelata yang sentiasa memerhati gelagat pemimpin negara yang sejak akhir-akhir ini agak jelek dan rakyat semakin benci kepada mereka.

Dikalangan penyokong dan pencacai UMNO@BN, cara itu adalah wajar, namun terdetik juga di hati mereka, tentunya UMNO@BN akan dikenang sebagai lagenda parti yang rakus dan tidak bermaruah di suatu masa nanti. Apakan daya dalam keadaan yang terdesak sekarang maka cara tersebut dihalalkan. Ibarat seekor binatang yang mengelupur sebelum nafasnya hilang. Hentakkannya akan lebih kuat dan menonjol, kemudian senyap membisu.

Mereka juga beranggapan dangkal, kenapa Anwar boleh, UMNO@BN tak boleh?. Persoalan itu bermain di benak mereka yang memang sentiasa 'benak".

Di sinilah konsep "hijrah" dan "lompat" mempunyai makna yang tersendiri. Memang patutlah dua orang lama dalam UMNO@BN sendiri menganggap cara yang dilakukan ini, sungguh keterlaluan dan mengecewakan. Adakah Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaliegh begitu cetek pemikiran untuk berkata sedemikian walaupun mereka dianggap sudah nyanyuk dan sebagai orang kecewa oleh pemimpin baru UMNO@BN. Nampaknya pemimpin baru mereka terlupa untuk cermin diri mereka sendiri.

UMNO@BN bukanlah UMNO@BN seperti satu ketika dahulu. UMNO@BN sekarang penuh dengan kudis dan kusta yang jelas dapat dilihat oleh rakyat jelata. Orang luar yang melihat agak jijik, inikan pesakitnya sendiri. Maka mereka memerlukan satu "treatment" yang dapat mengubati penyakit itu, maka perlunya berhijrah ke arah yang lebih baik bagi tujuan tersebut. Lagipun mereka sedar, dan saya yakin semua orang kuat UMNO@BN sedar, mereka menang atas dasar penipuan, bukan atas dasar sokongan rakyat. Maka tidak hairanlah dikhabarkan sebelum ini ramai pemimpinnya yang agak ikhlas cuba berhijrah kepada Pakatan Rakyat.

Sedangkan tabiat melompat adalah bagi mengelakkan sesuatu atau mendapatkan sesuatu. Dalam situasi ini, dikhabarkan mereka melompat untuk mengelak dari dihadapkan ke mahkamah dan ada juga dikhabarkan kerana mendapat imbuhan yang tinggi. Walaupun tempat mereka berpijak sekarang, mereka sendiri selesa, namun sikap tamak menjadikan mereka sentiasa melompat. Apapun juga khabarnya, mereka tetap pengkhianat kepada rakyat mereka.

Situasi di Perak ketika ini semasa artikel ini ditulis agak goyah, Pakatan Rakyat dan BN masing-masing berusaha untuk meminta perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Dato' Seri Nizar yang mewakili Pakatan Rakyat memohon perkenan daripada Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, manakala Najib selaku Pemangku BN Negeri Perak memohon perkenan daripada Sultan untuk membentuk kerajaan baru.

Dalam masa yang sama ketika ini satu perhimpunan "Munajat Perdana Mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak" sedang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan puluhan ribu rakyat yang inginkan keadilan ditegakkan di bumi Malaysia, Perak khasnya.

Secara peribadinya saya dapat merasakan bahawa di pihak UMNO@BN juga tidak pasti samada rancangan mereka ini akan berjaya. Mereka juga tidak pasti apa yang bakal berlaku. Mereka juga turut menunggu keputusan muktamad dari Sultan Perak.

Bertawakkal kepada Allah. Apapun yang berlaku, maka terserahlah kepada Allah SWT. "Kita merancang, Allah juga merancang, maka Allah SWT adalah sebaik-baik perancangan".