وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan ingatlah, Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”Memang sesuai permasalahan yang berlaku di Perak sehari dua ini dinamakan sebagai "tragedi". Satu tragedi yang amat memilukan bagi rakyat yang cintakan perubahan, dari satu corak pemerintahan yang zalim dan tidak bermaruah ke arah yang lebih baik dan cemerlang. Bukan seperti retorik "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang" yang akhirnya lebih kepada peningkatan "Jembalang". Mungkin definasi ini tidak sesuai bagi pemimpin politik tetapi bagi rakyat ia merupakan tragedi apabila kerajaan yang mereka harapkan tiba-tiba dirampas begitu sahaja.
Rakyat yang cuba sedaya upaya untuk berhijrah pada Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, akhirnya dikhianati oleh 4 "jembalang" yang penuh kekotoran dan kejahilan. Melompat dengan penuh angkuh dan tidak bermaruah sedangkan perut mereka memboyot, penuh dengan hasil rasuah. Tidakkah mereka sedar, perut yang sedang memboyot itu jika terkena duri maka akan terburailah segala kekotoran dan najis yang mereka cuba pendam selama ini.
Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat dan menjadi wakil rakyat Bebas. Seorang lagi, Dato' Nasaruddin Hashim (UMNO-Bota) yang menyertai PKR selama 11 hari juga telah mengisytiharkan kembali semula kepada Umno.
Apa yang pelik ialah 2 Adun yang hilang tanpa pengetahuan keluarga selama beberapa hari tetapi tiba-tiba muncul dengan alasan cuti sakit. Seorang lagi sekejab keluar sambil mengutuk sekeras-kerasnya parti sebelumnya tiba-tiba masuk balik. Yang seorang lagi pula, entah apa masalahnya tiba-tiba ikut sama.
Media begitu meriah pada hari ini seolah-olah merayakan kemenangan Barisan Nasional di Perak. Seolah-olah cara mereka itu amat hebat, berjaya menawan semula Negeri Perak, biar dengan cara kotor sekalipun tanpa memikir perasaan rakyat jelata yang sentiasa memerhati gelagat pemimpin negara yang sejak akhir-akhir ini agak jelek dan rakyat semakin benci kepada mereka.
Dikalangan penyokong dan pencacai UMNO@BN, cara itu adalah wajar, namun terdetik juga di hati mereka, tentunya UMNO@BN akan dikenang sebagai lagenda parti yang rakus dan tidak bermaruah di suatu masa nanti. Apakan daya dalam keadaan yang terdesak sekarang maka cara tersebut dihalalkan. Ibarat seekor binatang yang mengelupur sebelum nafasnya hilang. Hentakkannya akan lebih kuat dan menonjol, kemudian senyap membisu.
Mereka juga beranggapan dangkal, kenapa Anwar boleh, UMNO@BN tak boleh?. Persoalan itu bermain di benak mereka yang memang sentiasa 'benak".
Di sinilah konsep "hijrah" dan "lompat" mempunyai makna yang tersendiri. Memang patutlah dua orang lama dalam UMNO@BN sendiri menganggap cara yang dilakukan ini, sungguh keterlaluan dan mengecewakan. Adakah Tun Dr Mahathir dan Tengku Razaliegh begitu cetek pemikiran untuk berkata sedemikian walaupun mereka dianggap sudah nyanyuk dan sebagai orang kecewa oleh pemimpin baru UMNO@BN. Nampaknya pemimpin baru mereka terlupa untuk cermin diri mereka sendiri.
UMNO@BN bukanlah UMNO@BN seperti satu ketika dahulu. UMNO@BN sekarang penuh dengan kudis dan kusta yang jelas dapat dilihat oleh rakyat jelata. Orang luar yang melihat agak jijik, inikan pesakitnya sendiri. Maka mereka memerlukan satu "treatment" yang dapat mengubati penyakit itu, maka perlunya berhijrah ke arah yang lebih baik bagi tujuan tersebut. Lagipun mereka sedar, dan saya yakin semua orang kuat UMNO@BN sedar, mereka menang atas dasar penipuan, bukan atas dasar sokongan rakyat. Maka tidak hairanlah dikhabarkan sebelum ini ramai pemimpinnya yang agak ikhlas cuba berhijrah kepada Pakatan Rakyat.
Sedangkan tabiat melompat adalah bagi mengelakkan sesuatu atau mendapatkan sesuatu. Dalam situasi ini, dikhabarkan mereka melompat untuk mengelak dari dihadapkan ke mahkamah dan ada juga dikhabarkan kerana mendapat imbuhan yang tinggi. Walaupun tempat mereka berpijak sekarang, mereka sendiri selesa, namun sikap tamak menjadikan mereka sentiasa melompat. Apapun juga khabarnya, mereka tetap pengkhianat kepada rakyat mereka.
Situasi di Perak ketika ini semasa artikel ini ditulis agak goyah, Pakatan Rakyat dan BN masing-masing berusaha untuk meminta perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Dato' Seri Nizar yang mewakili Pakatan Rakyat memohon perkenan daripada Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri, manakala Najib selaku Pemangku BN Negeri Perak memohon perkenan daripada Sultan untuk membentuk kerajaan baru.
Dalam masa yang sama ketika ini satu perhimpunan "Munajat Perdana Mempertahankan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak" sedang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak yang dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan puluhan ribu rakyat yang inginkan keadilan ditegakkan di bumi Malaysia, Perak khasnya.
Secara peribadinya saya dapat merasakan bahawa di pihak UMNO@BN juga tidak pasti samada rancangan mereka ini akan berjaya. Mereka juga tidak pasti apa yang bakal berlaku. Mereka juga turut menunggu keputusan muktamad dari Sultan Perak.
Bertawakkal kepada Allah. Apapun yang berlaku, maka terserahlah kepada Allah SWT. "Kita merancang, Allah juga merancang, maka Allah SWT adalah sebaik-baik perancangan".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan