"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Sabtu

P36 Kuala Terengganu : UMNO yang retak, menanti belah


Ya Allah,

kami letakkan Mu di batang leher musuh kami,

dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka,


Ya Allah,

leburkan kumpulan mereka,

cerai beraikanlah pakatan mereka,

goncanglah pendirian mereka,

hantarkanlah anjing-anjing Mu ke atas mereka,


Wahai Tuhan yang penuh raksaksa,

Wahai Tuhan yang gagah perkasa,

Wahai Tuhan yang bersifat murka,


Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,

Wahai Tuhan yang menggerakan awan,

Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera Al-Ahzab,

kalahkan mereka, menangkan kami ke atas mereka


Tinggal beberapa jam lagi untuk masa membuang undi di PRK P36 Kuala Terengganu. Walaupun tidak berkesempatan untuk ke sana, namun perbualan telefon dengan beberapa sahabat yang dari awal lagi berkubu di sana terasa amat melegakan. Dapat juga mengetahui maklumat terkini di sana.

Kuala Terengganu, tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain. Teringat ketika zaman di KUSZA dahulu, bersama teman-teman berusrah, bertamrim dan acapkali juga merayau-rayau memahami selok belok jalan di sana suatu ketika dulu. Sesekali terlajak dengan motosikal sampai ke PUTIK, Kelantan.

Mendengar pada mulanya bahawa saudara Wahid Endut dicalonkan di P36 menaikkan semangat saya. Memang PAS tidak silap memilih calon. Saya selalu mengikuti perkembangan Saudara Wahid Endut ketika zaman belajar lagi. Pernah menziarahi beliau di rumahnya melalui seorang sahabat baik saya yang merupakan orang kuat Persatuan Penjaja di Kuala Terengganu. Beliau merupakan seorang yang mempunyai visi dan misi dalam kepimpinannya. Mempunyai 'grassroot' yang baik di kawasan beliau. Mudah didekati dan yang penting istiqamah dalam perjuangan beliau. Jadi tidak hairanlah beliau dicalonkan.

Memang pada mulanya semua beranggapan bahawa saudara Mohd Sabu akan dicalonkan dan itu menjadi sebab UMNO melalui Pak Lah beria-ia mencalonkan Wan Farid, jadi isu orang luar boleh dimainkan. Namun telahan mereka silap dan itu adalah satu pendekatan positif PAS.

Sehari selepas penamaan calon, saya berjumpa dengan beberapa kenalan yang merupakan orang kuat UMNO, mereka dari awal lagi merasakan UMNO akan kalah. Bagi mereka calon yang diketengahkan merupakan proksi Khairy dan Pak Lah sendiri tanpa menghiraukan permintaan UMNO Terengganu sendiri.

Kalau dahulu, Allahyarham Datuk Razali masih boleh diterima oleh rakyat tempatan atas sebab peribadi allahyarham sendiri walaupun di peringkat DUN ternyata calon PAS lebih mendapat tempat. Bagaimanapun calon Wan Farid ternyata calon yang tidak disukai oleh akar umbi UMNO Terengganu sendiri.

Tambahan pula isu Hudud cuba dimainkan oleh UMNO pada mulanya menjadi senjata makan tuan. Isu itu dimainkan bagi mengeruhkan hubungan antara rakan pakatan dalam Pakatan Rakyat namun isu itu sendiri menyerlahkan UMNO sebagai Anti Islam. Hujahnya cukup mudah, kenapa UMNO cukup benci hudud sedangkan mereka mengaku mereka sendiri sebagai Islam? Sudah terang lagi bersuluh.

Apapun semoga ketika terbitnya matahari beberapa jam lagi, maka rakyat Kuala Terengganu diberikan hidayah oleh Allah SWT agar membuat pilihan yang tepat. Semoga kebangkitan semula UMNO yang sangat tenat ketika ini tidak menjadi kenyataan seperti yang dilaungkan oleh beberapa ayam pencen 're-cycle' baru-baru ini.

Jumaat

UUM : Kilang bagi produk mengampu

Apa dah jadi dengan UUM, dulu di kalangan sahabat saya semasa zaman mahasiswa kami menggelarnya "Universiti Untuk Mahathir". Sekarang dah jadi "Unit Untuk Mengampu". Bukan bermakna UUM sahaja yang sinonim dalam arena pengampuan ini, malah universiti lain juga sama tak kurang hebatnya.

Nak marah kat Nordin Kardi, yang Abang Misai dekat Shah Alam itu pun apa kurangnya. Masing-masing nampaknya agak bersungguhan mencatat "rangking" paling bawah dalam kualiti pendidikan negara.

Kepada sahabat yang berada di UUM terutamanya beberapa kawan baik saya yang memegang jawatan Pensyarah Kanan di sana, rasanya mereka bersetuju dengan saya walaupun agar keberatan.

Sila baca artikel jumud dan kurang intelektual ini:

Kita wajar jadikan Palestin teladan Berita Harian Jumaat 16 Januari 2009

NEGARA sekali lagi menyaksikan pilihan raya kecil yang bakal berlangsung di Kuala Terengganu, Sabtu ini. Konflik di Gaza, Palestin sedikit mengurangkan politiking ahli politik kita dan ia seakan memberi keredaan tidak seperti sebelum ini.

Ada pihak melihat pilihan raya di kawasan Parlimen Kuala Terengganu tidak begitu penting, malah tidak mengubah apa-apa yang mungkin tidak dapat menebus kegemilangan Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, Umno dan BN tidak boleh memandang sambil lewa. Pilihan raya kecil boleh dijadikan kesempatan dan peluang BN untuk memantapkan parti. Lebih penting lagi jika parti yang bertanding adalah Umno.

Ketika pilihan raya, semua parti komponen turun padang untuk sama-sama berkempen. Pemimpin semua peringkat dan cawangan di seluruh negara dapat berhimpun dan sama-sama mengatur strategi dalam merebut kemenangan.

Sudah tentu ia akan mampu membentuk nilai bersatu padu di kalangan pemimpin dan ahli BN. Kelemahan pada Mac 2008 memang dapat diukur dari segi kuantiti. Pertambahan Ahli Parlimen pembangkang secara tidak langsung mengurangkan kuasa majoriti BN. Tetapi harus diingat, sesekali kualiti yang dilihat dari sudut nilai dalam BN harus juga ditekankan.

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu perlu juga dijadikan kayu ukur untuk menilai sejauh mana penerimaan rakyat kepada BN dan Pakatan Rakyat. Jika BN memenangi kerusi itu, bermakna pemimpin BN dan Umno berpeluang menunjukkan kepemimpinan, mencurahkan khidmat bakti serta memperbaiki kualiti pembangunan sedia ada.

Memberi peluang kepada Pakatan Rakyat menjadi pemimpin adalah sesuatu yang umpama menyerah ‘barang hak milik’ kepada orang lain. Walaupun dalam Pakatan Rakyat ada orang Melayu dan Islam yang mungkin dapat berkhidmat dengan baik, itu hanya sementara.

Orang Melayu dan Islam yang memperjuangkan ideologi Pakatan Rakyat adalah ‘buah catur’ yang akhirnya dikorbankan untuk kepentingan orang lain. Rakyat, khususnya di Kuala Terengganu harus menjadikan Palestin sebagai cermin dalam memilih pemimpin.

Untuk memastikan negara kita berada dalam keadaan baik, harmoni dan sejahtera, kita perlu konsisten dalam memilih siapakah pemimpin kita. Jika kita memilih pemimpin politik yang bersifat ‘talam dua muka,’ bermakna kita juga umpama rakyat ‘talam dua muka.’ Negara akan hancur dan kacau bilau andainya kita mengambil sikap sebegini.

Oleh itu, Umno dan BN perlu mengambil peluang yang masih ada ini untuk meyakinkan rakyat hingga ke akar jiwa mereka bagi memastikan bukan saja untuk kemenangan Umno dan BN tetapi untuk masa depan negara.

Kita memerlukan kepemimpinan yang kukuh dan stabil hasil persefahaman di antara kaum. Kita melihat dunia kini mengalami pelbagai ancaman, terutama negara seangkatan kita seperti negara Islam, khususnya di Palestin.

Jika negara kita juga lemah kerana memilih ideologi politik yang ‘caca marba’ maka tidak ada negara di dunia yang dapat membantu kita. Kita juga tidak akan mampu membantu negara lain jika kita lemah.

Justeru, kita mesti mengekalkan ideologi politik yang dibentuk 60 tahun lalu di samping memperbaikinya dari semasa ke semasa. Kita maju dan stabil dalam tempoh 60 tahun.

Rakyat Palestin pula hancur dalam masa 60 tahun kerana mereka mangsa ideologi politik dan perpecahan. Adakah rakyat Malaysia memilih kehancuran atau sebaliknya. Rakyat Kuala Terengganu dan rakyat semua harus sentiasa bermuhasabah.

ROSLEE MARDAN,
Pegawai Eksekutif
Universiti Utara Malaysia ,
Kedah.

Apa dah jadi ni? Mengaitkan pimpinan Pakatan Rakyat sebagai "talam dua muka". Rasanya anda telah ketinggalan dalam arus maklumat. Rata-rata masyarakat terutamanya mahasiswa dan intelektual di UUM tahu hakikat sikap dan pendirian UMNO@BN.

Cuma saya tertarik dengan tajuk artikel "Kita Wajar Jadikan Palestin Teladan". Apa yang dapat saya ambil pengajaran dari peristiwa Palestin ialah pengkhianatan oleh Parti Fattah bagi menjatuhkan Parti Hamas yang menang secara demokrasi hasil bantahan rakyat kerana Parti Fattah banyak berpura-pura dalam menangani Rejim Israel sebelum ini.

Apa yang dapat dilihat di sini ialah istilah "Perkongsian Kuasa" adalah taktik jahat Parti Fattah bagi terus berkuasa di kala bau busuk pengkhianatannya dapat dihidu rakyat Palestin.

Saya merasakan pembunuhan kejam tentera Israel laknatullah ke atas rakyat Palestin ini adalah perancangan keji dan melibatkan sekutu Israel termasuk negara kolonial berimej Islam yang terus berpura-pura menghentam Israel tetapi dalam masa yang sama membantu rejim Israel. Hakikatnya sekarang mereka agak pelik dengan kekuatan komando Parti Hamas itu sendiri. Tahniah Brigade Izzuddin al-Qossam!!!