"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Isnin

Isu Tanah : Apabila Si Fasik dan Si Munafik berbicara

Utusan Malaysia 05/04/2008

Beri hak milik kekal langgar Kanun Tanah Negara
Oleh ABDUL RAZAK DIN

IPOH 4 April – Kerajaan negeri campuran di Perak hanya menipu rakyat jika memberi status geran hak pemilikan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun kerana ia bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Ramly Zahari berkata, ini kerana pemberian status berkenaan adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan dan bukan kerajaan negeri.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Usahawan dan Pembangunan Koperasi berkata, kuasa kerajaan negeri hanya tertakluk dari segi kutipan hak milik tanah sementara (TOL), bayaran premium dan cukai tanah.

‘‘Pemberian geran hak pemilikan kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

‘‘Ini bermakna ia tidak boleh dilaksanakan dan oleh itu, saya menganggap kerajaan negeri cuba menipu rakyat dalam soal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa lebih 60,000 penduduk kampung baru di negeri ini akan memperoleh geran pemilikan kekal ke atas tanah yang didiami mereka.

Mohd. Nizar berkata, selain penduduk kampung baru, peluang tersebut turut diberikan kepada mereka yang mendiami kampung tersusun sebagai ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri terhadap rakyat yang mengundi ketiga-tiga parti pembangkang membentuk kerajaan campuran pada pilihan raya lalu.

Beliau memberi alasan selama ini, mereka begitu bersabar menduduki tanah terbabit dan menggunakan geran TOL walaupun sudah tinggal di situ sejak 1948 iaitu sebelum merdeka lagi.

Keseluruhannya terdapat sebanyak 134 kampung baru di Perak dengan setiap kampung mempunyai penduduk kira-kira 500 orang dengan majoriti iaitu hampir 85 peratus kaum Cina manakala selebihnya iaitu kira-kira 15 peratus Melayu dan India.

Beliau berkata, pemberian geran berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada syarat yang ditetapkan di bawah Peraturan Tanah Negeri Perak dan Kanun Tanah Negara.

Ramly berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah berusaha memastikan penduduk di 134 kampung baru di Perak memiliki suratan hak milik secara sah.
Katanya, usaha ini dilakukan sehingga sanggup memberi diskaun premium beberapa kali bagi penyambungan tempoh hak milik.

‘‘Semasa BN dahulu kita telah berjaya mengeluarkan sebanyak 48,183 hak milik mukim dan 4,672 hak milik berdaftar.

‘‘Kita percaya tidak sampai 10 peratus daripada jumlah lot kampung baru yang belum memiliki suratan hak milik. 10 peratus ini pun sebenarnya hanya tinggal di peringkat untuk membuat pendaftaran sahaja,” katanya.

Sementara itu, seorang pengamal undang-undang berkata, pemberian hak milik kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung tersusun memang bercanggah dengan Kanun Tanah Negara.

Katanya, jika kerajaan negeri ingin memberikan geran milik kekal kepada penduduk berkenaan, penduduk kampung lain juga patut diberi taraf yang sama.

‘‘Setahu saya untuk memberi geran milik kekal mesti ada syarat istimewanya. Persoalannya kenapa hanya kampung baru dan kampung tersusun yang dapat dan apa kata kampung-kampung lain yang mendapat status hak milik sementara,” katanya.

Beliau berkata, jika diberi status milik kekal, kerajaan tidak mungkin boleh mengutip balik cukai premium atau sebagainya dan tidak boleh mengambil balik tanah tersebut untuk projek pembangunan.



Berita Harian 06/07/2009

Pusat tak akan campur tangan hal ehwal negeri: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Kerajaan Persekutuan tidak akan campur tangan dalam isu Kampung Buah Pala kerana perkara itu perlu diuruskan dan diselesaikan oleh kerajaan Pulau Pinang.

"Ini adalah perkara kerajaan negeri, tanah terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri, sepertimana yang anda tahu, jadi ia terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Sekiranya kami (kerajaan persekutuan) campur tangan, ia akan mewujudkan duluan penting bagi kes-kes lain, terdapat banyak kes lain sebenarnya, dan kami akan diminta campur tangan dalam kes lain juga," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah menara pejabat setinggi 50 tingkat Kumpulan Naza di sini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan menulis surat kepada Najib bagi memohon bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih tanah kampung itu daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd bagi membolehkan 23 keluarga terus tinggal di Kampung Buah Pala.

Penduduk Kampung Buah Pala terpaksa mengosongkan tanah itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka untuk terus tinggal di kawasan itu yang telah dihuni mereka sejak sekian lama. - Bernama



* Komen: Entahlah labu... fikir-fikirkanlah....

Tiada ulasan: