"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Khamis

MADU YAMAN DIIKTIRAF SEBAGAI MADU TERBAIK DI DUNIA.

(Diterjemah dari buku arab - Sejarah hasil bumi Yaman)

sumber dari http://www.albinanji.com



Sejak berjuta tahun dahulu, Yaman terkenal kerana madunya yang sangat baik dan berkualiti. ‘Erathostenes’ seorang sejarawan, berkata Yaman adalah satu kawasan yang amat subur dan mempunyai tempat-tempat yang sangat sesuai untuk penghasilan madu kerana terdapat pohon ‘Sidr’ dan ‘Sumur’. Madu yang dianggap paling baik adalah yang dikeluarkan dari bunga ‘Sidr’ (Ziziphus Spina Christi, L.Willd) dan ‘Sumur’ (Acacia Tortillis, Forsk. Hayne).

Penternakan lebah telah berkembang luas di lembah-lembah di Timur Yaman sebelum kedatangan Islam lagi. Buktinya dapat dilihat dari lukisan-lukisan di atas batu yang masih terdapat di kawasan itu. Antara gambar yang dapat dilihat dari lukisan ini ialah sekumpulan lebah sedang berterbangan. Dari gambar ini, dapat diterjemahkan bahawa sejak dahulu lagi, penduduk Yaman telah menternak lebah dan pada ketika itu, madu yang terhasil dinilaikan sebagai suatu yang amat berharga dan oleh kerana itulah mereka melukis gambar-gambar ini.

Al-Hamdani seorang sejarawan arab memberitahu, lereng-lereng gunung Hinwam, satu daerah yang didiami oleh puak Ahnum (Hamdan) adalah antara kawasan bumi Allah yang terkaya dengan lebah dan madu. Seorang penternak sahaja boleh memiliki sehingga lima puluh Jibh (sarang lebah) atau lebih.



Malangnya tidak ada maklumat khusus mengenai madu Yaman yang diberikan oleh Yusuf bin Omar.Catatan sejarah pada zaman Rasul walaupun tidak menyebut lebah telah mencatatkan hari-hari yang terbaik untuk mengumpul pelbagai jenis madu Yaman.

Menurut seorang sejarawan Mesir al-Maqrizi (meninggal pada 1441H) yang juga merupakan seorang pengarang beberapa perjanjian Arab mengenai penternakan lebah, menyatakan bahawa seluruh Yaman merupakan bumi lebah.Lebah Yaman berbeza dengan lebah dari luar.

Lebah Yaman diklasifikasikan sebagai ‘APIS MELLIFERA YEMENITICA’. Lebah-lebah Yaman ini tidak agresif dan mempunyai saiz badan yang lebih kecil berbanding dengan lebah Eropah, ‘APIS MELLIFERA EROPAH’ yang menzahirkan belang-belang kelabu pada bahagian badan. Ciri-ciri lebah Yaman ini menjadikannya sesuai dengan iklim di negara itu sehinggakan dari tinjauan yang dibuat mendapati lebah-lebah Yaman ini tidak terkena penyakit. Teknik-teknik penternakan lebah dan pengeluaran madu di sini sebahagian besarnya masih lagi menggunakan cara tradisional walaupun telah banyak negara-negara pengeluar madu menggunakan cara yang moden. Ini adalah kerana cara moden menyebabkan banyak khasiat-khasiat semulajadi, khasiat-khasiat perubatan dan lain-lain luput dari madu tersebut.

Sekumpulan lebah di Wadi Dau’an ditangkap untuk dikenal pasti dan dipilih ratu-ratu lebah tersebut. Kemudian, setiap seekor dari ratu tersebut akan diletakkan di dalam sebuah kotak kecil yang dibuat khas untuk ratu lebah tersebut. Kotak itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam satu tikar anyaman. Di dalam tikar tersebut terdapat rotan yang dibentuk mengikut bentuk sarang lebah dan ditutup di salah satu penghujungnya. Lebah-lebah pekerja yang lain kemudian akan mengikut ratu masing-masing masuk ke dalam sarang buatan yang tersedia itu.-W.H.Ingrams, ‘Tradistional Bee-Keeping in Wadi Dau’an’, Man 37 (1937), 32.




Pada asasnya, terdapat tiga jenis sarang lebah tradisional iaitu khaliyya (batang kayu yang kosong ditengah), jamak (sarang daripada tanah) dan khalaya (sarang daripada bakul rotan). Sarang-sarang ini ditutup pada setiap penghujungnya. Kemudian lubang dibuat bagi memudahkan lebah-lebah tersebut keluar masuk.

Terdapat dua cara penternakan lebah yang diamalkan di sini. Yang pertama penternakan setempat dan yang kedua ialah penternakan berpidah-randah. Penternakan setempat dilakukan dengan cara sarang-sarang lebah diletakkan samada di atas tanah atau di atas bumbung-bumbung rumah. Manakala penternakan pindah-randah yang banyak terdapat di kawasan timur menggunakn sarang berasaskan kayu. Sarang kayu lebih kuat dan stabil dan digunakan agar lebah tidak terganggu apabila diangkut dari satu lembah ke satu lembah di atas lori kecil. Dahulu unta-unta digunakan sebagai pengangkutan, madu yang terhasil diisi di dalam kulit-kulit kambing dan disimpan di dalam labu. Apabila sarang lebah tersebut telah dipenuhi dengan madu, penternak akan memotong isi sarang itu dengan pisau. Sedikit madu ditinggalkan di dalam sarang bagi memenuhi keperluan lebah pada musim kemarau.

Penternak di daerah Zabid memiliki dua hingga tiga sarang setiap keluarga berbeza dengan penternak-pentenak lebah professional di lembah-lembah selatan Wadi Hadramaut yang mempunyai hingga seratus unit setiap keluarga.

Di Yaman, madu telah digunakan untuk meletakkan satu cap mohor ke atas penyelesaian perbalahan dan cagaran dalam membuat perjanjian-perjanjian antara ahli-ahli kabilah. Memiliki madu yang dihasilkan di tempat sendiri merupakan satu simbol status kerana penduduk Yaman berbangga dengan kualiti madu mereka yang baik. Pada zaman Yaman moden pula, penduduk di sini menghidangkan madu kepada para tetamu yang bertandang ke rumah mereka. Madu juga selalu dihidangkan dalam jamuan-jamuan dan keramaian. Madu dicampur dengan telur dianggap penting untuk kesuburan dan kekuatan fizikal. Oleh kerana itu ia diberikan kepada pengantin-pengantin lelaki dan juga kepada kanak-kanak lelaki yang berkhatan.

Kaedah perubatan tradisi Yaman menyampurkan madu dengan mentega cair untuk diberikan kepada ibu-ibu sebaik sahaja selepas bersalin. Madu juga digunakan secara meluas dalam menghasilkan ubat-ubatan tradisional. Contohnya seperti madu dicampurkan dengan labu pahit kemenyan menjadi penawar mujarab bagi sembelit, madu dicampurkan dengan biji lobak menjadi penguat tenaga batin, madu dicampurkan dengan hiltit (sejenis perekat perubatan Asa Feotida) dapat membantu melancarkan perjalanan haid dan dengan beberapa jenis tumbuhan ia boleh merawat penyakit gila babi.

Rasa madu Yaman berbeza dengan rasa madu yang diimport dari negara lain. Madu Yaman juga dapat dibezakan dan juga dikenal pasti asal daerahnya dari warna dan bau. Darjah kelembapan dan kepekatan ekoran darin peratusan air adalah sangat penting dalam menentukan gred sesuatu jenis madu itu.

MADU LEBAH DAN KEISTIMEWAANNYA

Allah s.w.t. telah menciptakan sekalian makhlukNya dan memudahkan untuk mereka barang apa yang diperlukan oleh mereka untuk meneruskan kehidupan. Di antara ribuan makhluk ini, Allah s.w.t. telah menciptakan sejenis serangga yang dipanggil lebah yang merupakan salah satu tanda kebesaran peniptaan Allah s.w.t. Allah s.w.t. telah berfirman dalam kitab suciNya mengenai lebah pengeluar madu yang mempunyai berbagai-bagai manafaat dan penyembuh bagi keharmonian dan kebahagiaan hidup manusia di dunia yang sementara ini. Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: hendaklah kamu membuat sarangmu di gunung-ganang, di pokok-pokok kayu dan juga di babgunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang kamu sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. Dengan itu, akan keluarlah minuman(madu) yang berlainan warnanya dari dalam badannya yang mengandungi penawar bagi manusia daripada berbagai-bagai jenis penyakit. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. (al-Nahl: 68-69)

Di dalam satu riwayat hadis yang dinukilkan oleh Abu Sa’ed al-Khudri r.a., beliau telah berkata, “seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. untuk mengadu tentang sakit perut.” Rasulullah s.a.w. telah bersabdakepada beliau, “Berilah dia minum madu.” Lelaki tadi pun memberikan madu untuk diminum oleh saudaranya itu. Kemudian beliau datang lagi untuk bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Aku telah memberikannya minum madu, tetapi perutnya masih sakit.” Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada beliau, “Berikanlah ia minum madu.” Kemudian lelaki itu datang lagi dengan pengaduan bahawa penyakit perut saudaranya itu masih juga belum sembuh. Demikianlah yang dilakukannya sehingga tiga kali. Rasulullah s.a.w. masih menyuruhnya minum madu. Lelaki itu tetap datang juga dengan pengaduan yang serupa. Dengan yang demikian, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Allah Maha Besar, perut saudaramu telah berdusta.” Riwayat Muslim.

Beberapa orang ulamak telah berkata lelaki itu mempunyai sisa-sisa makanan yang menyebabkan perutnya memulas sakit. Apabila diberikan madu kepadanya, oleh kerana sifat madu itu adalah panas maka ia menyebabkan perut perutnya sakit dan memulas-mulas. Kemudian diberi minum madu lagi, lalu menambah lagi rasa memulas di dalam perut lelaki tersebut. Oleh yang demikian, lelaki arab itu beranggapan bahawa madu itu memudaratkan perut saudaranya sedangkan madu itu memberi kesan baik kepada perut saudaranya itu. Setelah berulang kali diberi minum madu dan selepas setiap kali sakitnya memulas dan apabila segala sisa-sisa makanan yang memudaratkan badan tersebut dihancurkan dan dibuang memalui penyaluran najis, maka barulah pulih perut saudaranya itu dan kembali tenang keadaan dirinya dengan lenyapnya kesakitan dan kepedihan lantaran keberkatan petunjuk Rasulullah s.a.w. dari Tuhannya.

Daripada Aisyah r.a. katanya, “Madu adalah makanan kesukaan Rasulullah s.a.w.”

Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Penawar itu terdapat pada tiga perkara. Bekam, meminum madu dan membakar (mencos) diri dengan besi panas (dengan tujuan membunuh kuman) dan aku menegah umatku dari mulakukan pembakaran badan dengan besi panas.” Al-Bukhari.

Telah berkata jumhur ulamak bahawa madu dikeluarkan dari mulut lebah. Diriwayatkan dari Ali r.a. bahawa beliau berkata, “Kehinaan untuk dunia, semulia-mulia pakaian manusia di dalam kehidupan dunia adalah dari air liur sejenis serangga (kain sutera dari ulat sutera) dan semulia-mulia minuman adalah apa yang keluar dari mulut lebah (madu).”

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud r.a. sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda, “Madu adalah penyembuh bagi penyakit di dalam hati dan hendaklah kamu berubat dengan madu dan al-Quran.”Diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w., “Barang siapa yang makan madu tiga hari dalam setiap bulan, tidak akan tertimpa keatasnya bala yang besar.”

Diriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik r.a. bahawa sekiranya beliau sakit, beliau akan berkata bawakan air untukku kerana sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman (maksudnya), “Kami menurunkan dari langit air yang berkat.” Kemudian beliau berkata, “Bawakan madu kepadaku (kemudian beliau membaca ayat 68-69 surah al-Nahl) dan bawakanlah kepadaku minyak (zaitun) lantaran ianya adalah dari pokok yang berkat.” Beliau mencampurkan ketiga-tiga jenis bahan itu dan beliau membaca ayat tadi.

Keistimewaan Madu:
1. Sebagai makanan lengkap.
2. Sebagai penyembuh penyakit.
3. Sebagai antiseptik.

Kandungan Madu:-

-Vitamin A
-Natrium
-Vitamin E
-Iodin
-Karbon
-Magnesium
-Vitamin C
-Klorin
-Zat Besi
-Magganasee
-Vitamin B lengkap
-Kalium
-Kalsium Sulfur
-Kuprum
-Silica

Khasiat Madu baik untuk:
-Jantung
-Darah
-Kejang Otot
-Antiseptik
-Batuk
-Mata
-Selsema
-Kulit-Melecur
-Tenaga
-Penghadaman
-Ahli Sukan

Keistimewaan Gula Madu:
1. Gula ringkas: dektros/ mudah hadam
2. Tidak mengganggu selaput usus
3. Mudah/ cepat diserap oleh sel
4. Membekalkan tenaga segera
5. Mudah dikendalikan dan diproses buah pinggang
6. Melawaskan pembuangan air besar
7. Menenangkan mental dan fizikal.

Isnin

Saya pun nak ambil PhD

Saya dah lama nak tulis tentang perkara ni, tapi tak berkesempatan, perkara ni dah lama saya bualkan dengan sahabat-sahabat rapat saya yang sekarang ini masih mengajar di beberapa buah universiti di Malaysia, mereka juga sudah lama memiliki PhD.


Kebelakangan ni, banyak sangat orang-orang besar yang dapat PhD. Dari satu sudut memanglah bagus, tapi agak pelik kerana peribadi mereka yang ada PhD itu sendiri diragui.


Dulu memang heboh pasal PhD beli. Memang ada la dua tiga orang Dato' yang saya pernah jumpa, bila tengok namecard dia tertera PhD, USA. Biar betul.... USA tu luas, universiti mana??? Ada juga PhD anugerah dari universiti untuk ahli politik dan isteri pemimpin, entahlah sikit masa nanti semua ada PhD. Kita pun tak dapat membezakan antara yang praktis atau sehelai kertas kosong.


Pasal ada sorang Menteri ni, kononnya dapat PhD kat UPM, tajuk tesis dia, "Manifesto Barisan Nasional sebagai agenda akhbar Melayu semasa tempoh pilihanraya Umum". Saya pun pelik, boleh lulus ke. Macam mana dia buat SWOT analysis. Kalau dah itu memang media BN dan berat sebelah, tidak bebas, maka faktor kelemahan baginya tidak adalah. Dia sepatutnya buat perbandingan dengan akhbar pembangkang. Tetapi secara peribadinya saya sependapat dengan Dr Agus, media di Malaysia ni lebih berkepentingan terhadap parti masing-masing. Cuma kelebihan pada Barisan Nasional kerana menyalahgunakan kuasa yang mereka ada maka menjadi faktor berlaku sedemikian.

Semalam saya sempat menonton rancangan Hujah di TV9, Dr Agus sebagai pengerusi dan dua ahli panel mewakili BN. Seorang bekas calon BN yang kalah teruk dan seorang ahli akademik. Walaupun salah seorangnya ialah ahli akademik, tapi dia nampak lebih memihak dan mencerminkan kepada BN. Dia ialah Prof. Dr Ahmad Atory Hussein. Melihat dia baru menyebabkan saya teringat kepada Shahidan Kassim. Prof inilah yang menyelia tesis Shahidan. Saya terus menghantar sms kepada rakan saya di UUM, " Salam dr, U tengok tak TV9, Dr Atory kawan U jadi panel, patut le Shahidan dapat PhD, Dr Atory tu pengampu juga rupanya". Respon dari beliau agak pantas,"Saya cemuih dan meluat untuk tengok ke******nya di TV".

Saya pernah mengutarakan untuk mengambil PhD kepada rakan-rakan saya, apa yang saya perlu buat ialah membuat tesis dengan tajuk "Paklah sebagai pemangkin ekonomi negara" dengan hanya menghantar sehelai kertas A4, conform lulus.

Rujuk; http://www.tv9.com.my/Shows/Episodes.aspx?MasterID=80&ShowID=312&MenuID=2&SubMenuID=1&TemplateID=1&EpID=11377&VideoID=5614

Rabu

Apa yang nak dibanggakan?

Salam ukhwah,

Minggu lepas, saya sempat menonton rancangan Hujah di TV9, seperti biasa rancangan tersebut dipengerusikan oleh Saudara Dr Agus, apa yang menarik ialah salah seorang jemputan ahli panel pada malam tu menarik minat saya, dengan rambutnya yang ala-ala Fung Sai Yuk. Beliau ialah PM Dr Azmi Sharom.

Pendapat beliau amat menarik perhatian saya, bagi beliau istilah ketuanan Melayu ini agak tidak relevan pada masa sekarang, kalau kita masih mempertahankan nilai kaum itu di dalam Malaysia maka adakah kaum lain juga tidak layak. Bukankah Malaysia ini juga tempat tumpah darah mereka. Takkan kita nak halau mereka pulang ke negara asal mereka sedangkan mereka tiada keluarga di sana. Ini kerana mereka dibawa masuk ke negara ini sejak nenek moyang mereka lagi. Adakah logik begitu.

Kalau kerajaan kita masih mahu menolong orang Melayu, hujahnya amat mudah. Bukankah golongan rakyat termiskin, majoritinya ialah terdiri dari orang Melayu, maka menolong orang susah dan miskin maka bermakna kita menolong orang Melayu. Itu yang sepatutnya.

Hakikat yang kita terima ialah, bukan kaum Melayu yang ditolong tetapi lebih kepada mereka yang berkepentingan.

Saya merasakan kita gentar untuk berbicara mengatakan hanya sebilangan kecil Melayu yang bernasib baik untuk dibantu oleh kerajaan tetapi dalam jumlah bantuan yang sedikit sahaja, itupun bersyarat. Saya selalu memberitahu rakan-rakan saya yang bukan Melayu bahawa istilah bumiputera itu sebenarnya agak kabur. Kalau dikatakan bumiputera itu adalah Melayu sahaja, bagaimana dengan mereka yang bergelar Korporat dari golongan bukan Melayu seperti Ananda Krishna, Patric Lim, Mendiang Lim Goh Tong, Vincent Tan dan ramai lagi. Adakah mereka bumiputera? Bagaimana mereka mendapat sebahagian besar projek mega dan bantuan kerajaan.

Manakala korporat dari golongan Melayu hanya terhad. Mana tidaknya, bermula dari peringkat penjaja ke golongan korporat, apa yang penting dan mudah, mesti mempunyai keahlian UMNO. Adakah syarat mahu menjadi Melayu mesti ahli UMNO, bukan sebaliknya. Yang paling mudah naik ialah mereka yang rapat dan mempunyai hubungkait dengan seseorang yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam kepimpinan negara.

Seperti apa yang pernah saudara Dr Agus nyatakan, PAS adalah lebih relevan dengan Melayu. Itu adalah hakikat. Perjuangan Pas adalah lebih terang dan nyata. Penyokong PAS bukan fanatik terhadap pemimpin tetapi atas dasar 'itisam kepada perjuangannya.

Apa yang UMNO perjuangkan? Entahlah.... Nak kata pejuang bangsa pun bukan, hatta nak pejuangkan agama, lagi tak logik

Buat Renungan


Soalan Anda, Jawapan Al-Quran...




KENAPA AKU DIUJI??

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnyaAllah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN??

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI??

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." -Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA FRUST??

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA??

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu(menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya(mencapai kemenangan)." -Surah Al-Imran ayat 200

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" -Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI??

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari org2 mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... -Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP??

"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129

AKU DAH TAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!

"...dan jgnlah kamu berputus asa drp rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir." -Surah Yusuf ayat 12


(e-mail dari seorang sahabat saya suatu ketika dulu, bagus buat renungan)

14 May 08

Isnin

Buat Renungan

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD RASULULLAH S.A.W.

Antara isi/kandungan penting yang dipetik dari khutbah terakhir Rasulullah SAW - disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. (Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih) Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur an dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba-hambaMu.

“Pada hari ini, telah Aku sempurnakan bagimu Agamamu, dan telah aku cukupkan nikmatKu untukmu, dan Aku redha Islam menjadi agamamu”. (Al-Maidah-3)Ayat Terakhir yang diwahyukan Allah SWT ke atas Baginda Rasulullah SAW tidak lama selepas Khutbah Wida'