"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Ahad

Isu Anwar; Cubaan alih isu Rosmah

Pengakuan yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan petang kelmarin bahawa dia diliwat oleh Anwar jelas merupakan konspirasi oleh kerajaan BN terutama Najib.

Konspirasi tersebut diakui sendiri oleh isteri Anwar, Wan Azizah. Wan Azizah telah mengemukakan bukti gambar yang menunjukan gambar
Saiful Bukhari Azlan bersama pegawai khas Najib, Khairil Anas Yusof. Ini menterjemahkan bahawa telah ada konspirasi Najib menjatuhkan Anwar.

Najib merupakan seorang murid yang tolol yang belajar dari bekas gurunya suatu ketika dulu. Isu yang dibangkitkan adalah isu yang sama walaupun telah dinafikan oleh bekas gurunya menjelang PRU12 yang lepas (rujuk pengakuan Mahathir, Anwar tidak bersalah).

Apapun usaha mewujudkan isu ini hanyalah sebagai mengalih isu tuduhan penglibatan Rosmah dan kes pembunuhan Altantuya. Bagaimana gelabahnya Najib apabila Akuan Bersumpah oleh Raja Petra dibuat terhadap isteri kesayangannya itu. Isu ini juga bagi menggagalkan usaha penubuhan kerajaan baru oleh Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, isu yang ditimbulkan adalah amat benak sekali yang mana datang dari pemikiran yang benak. Maka tidak hairanlah, bekas gurunya juga mengakui kebenakkannya itu.

Jika isu yang ditimbulkan adalah isu contohnya seperti Anwar melakukan konspirasi dengan agen Yahudi atau bukti Anwar memang terlibat rasuah (walaupun tidak), maka isu itu mungkin lebih dipercayai, tetapi disebabkan kebenakkannya, maka isu yang telah dinafikan oleh gurunya, ditimbulkan kembali.

Hakikatnya, rakyat akan bertambah marah dengan kebenakkan kerajaan BN terutama UMNO. Sedangkan isu yang ditimbul oleh bekas gurunya dari awal lagi tidak dipercayai, ditambah lagi isu ini yang ditimbulkan di kala kemarahan rakyat sudah memuncak.

Semoga Allah memberikan keinsafan kepada mereka, jika tidak tunggulah kehancuran dan azab Allah yang pasti tiba.

Khamis

Bandaraya Satelit Islam (Islamic Satellite City) Pasir Tumboh: Catatan





Alhamdulillah, saya sempat singgah ke Majlis Perasmian Projek Bandaraya Satelit Islam Pasir Tumboh, Kelantan. Program bermula jam 10.00 pagi. Saya sempat berbual dengan bekas calon PKR Tanah Merah, Hj Saupi sementara menantikan ketibaan dif-dif jemputan.

Selang beberapa minit kemudian, YAB Tuan Guru Nik Aziz telah tiba. Ketibaan YAB Tuan Guru Nik Aziz disambut meriah dengan paluan rebana, saya mengambil kesempatan bersalaman dengan TGNA. Terharu juga berpeluang bersalaman dan menatap wajah TGNA.

Sempat juga saya berjumpa dengan beberapa orang pembesar negeri seperti YB Nik Amar, YB Nasarudin Daud, YB Wan Ismail, YB Takiyudin dan tidak ketinggalan YB Kamarudin Jaafar.

Program berjalan dengan lancar dalam suasana yang meriah dan cuaca yang baik.

Rabu

Bandaraya Satelit Islam Kota Bharu, Kelantan



Petang kelmarin saya turun di 'airport' Kota Bharu, saya dijemput oleh kawan lama saya, sepanjang perjalanan ke destinasi yang hendak dituju, kawan saya sempat menceritakan tentang perkembangan pembangunan di Kelantan.

Pagi esok, 19 Jun 2008, Negeri Kelantan Darul Naim akan melakar sejarah dengan bakal terbinanya sebuah bandaraya satelit baru. Bandar satelit baru berkonsepkan ‘Islamic City’ yang menjadikan masjid sebagai ‘focal point’ juga berperanan menyokong fungsi bandar Kota Bahru.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dijangka bakal merasmikan majlis pecah tanah bagi projek tersebut. Majlis tersebut juga akan dihadiri oleh YB Datuk Takiyuddin dan YDP MBKB-BRI serta beberapa dif-dif jemputan yang lain.

Bandar satelit bermaksud bandar yang bergantung pada industri tempatan, tetapi ada perkaitan ekonomi dan struktur jaringan perhubungan dan pentadbiran dengan sesebuah bandaraya yang berhampiran. Bandar satelit biasanya dianggap menyokong bandar raya yang berhampiran itu secara timbal balik atau saling menyokong sesama sendiri.

Projek tersebut dibangunkan di Pasir Tumbuh tidak jauh dari Kota Bharu. Ia meliputi pembinaan 218 unit rumah kedai dan pasar awam melibatkan kos sebanyak RM2.7 juta, 18 unit perumahan kakitangan kerajaan (RM4.5 juta). Selain turut dibina masjid dan hotel. Projek itu akan dibangunkan di kawasan seluas 20.73 ekar. Turut akan dibangunkan pondok moden yang bernilai RM1.2 juta, kompleks dataran (RM3.8 juta) dan 60 gerai (RM600,000). Projek ini akan menjadikan masjid sebagai tumpuan utama.

Maklumat yang saya dapat di atas pada mulanya adalah maklumat kos pada mula-mula projek tersebut dicadangkan, bagaimanapun setelah menjadi projek kerjasama syarikat terbabit dengan kerajaan negeri maka banyak perubahan telah dibuat bagi penambahbaikan DAN penambahan unit bangunan baru. maka kos sebenar dianggar hampir RM100 juta. Gambar yang saya attach di atas adalah gambar terbaru.

Berikut adalah progress yg diemail kepada saya:

Masjid setinggi dua tingkat yang dibina akan dilengkapi ruang niaga, pameran dan bilik kuliah. Lokasinya di tengah-tengah pembangunan satelit berkenaan. Lebih menarik lagi, setiap mereka yang berurusan di Bandar Islam Pasir Tumbuh perlu menutup aurat bagi orang Islam dan bukan Islam berpakaian bersopan. Selain itu sesuatu yang menarik perhatian saya ialah, kolam renang "roof top" yang mengasingkan wanita dan lelaki.

Pembangunan bandar satelit Islam ini berpaksikan kepada masjid dalam fungsi yang baru yang merangkumi ruang niaga dan ruang pameran, perpustakaan dan juga bilik-bilik kuliah di dalam masjid itu sendiri.

Perlaksanaan projek ini juga merupakan satu tamparan hebat kepada Barisan Nasional yang sebelum ini berdegar-degar mengutuk dan memperlekehkan kerajaan Kelantan sebelum ini setelah projek yang sebelum ini sepatutnya dibangunkan di bandar Tunjung tidak dapat dibangunkan atas sebab tertentu.

Walaupun dianggap dan dicanang sebagai negeri termiskin di Malaysia, namun pembangunan di Kelantan lebih baik dan terancang berbanding negeri yang diperintah oleh kerajaan BN sedangkan bantuan dari Pusat disekat. Pembangunan di Kelantan lebih menyerlah dengan kehadiran pelabur asing ke sini atas dasar kepercayaan kepada dasar dan sikap pemerintah di sini. Banyak projek pembangunan yang sedang atau telah dilaksanakan seperti Kelantan Trade Centre, Pusat Komersil Rantau Panjang, KB Mall, Pelangi Mall, dan lain-lain lagi.

Berkaitan dengan isu perpaduan di bawah pemerintahan Islam, rakyat kelantan telah lama peka. Jadi wajarlah TGNA mengundang YB Karpal Sing sendiri sebelum ini ke Kelantan bagi melihat suasana perpaduan kaum di sini.

Isnin

Komen YB Dato' Paduka Husam Musa - Isu Minyak


Petronas ditubuh Tun Razak untuk kekalkan harga minyak murah


Wan Nordin Wan Yaacob
Tue | Jun 10, 08 | 12:28:19 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa mendedahkan bahawa Petronas ditubuhkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussien pada tahun 1974 bagi memastikan harga minyak di negara ini sentiasa berada pada tahap rendah sekalipun harga minyak dunia meningkat.

Dalam kes ini Petronas ditubuh untuk pastikan keuntungan daripada harga minyak yang Malaysia keluarkan itu untuk melindungi pengguna tempatan dengan harga yang murah, ujarnya dalam satu temubual dengan Harakah di sebuah hotel dekat sini semalam.

"Ini bermakna, harga minyak dunia boleh naik tetapi harga minyak negara perlu lebih rendah daripada harga minyak dunia, ini konsep yang menyebabkan Petronas ditubuhkan.

"Fungsi utama Petronas bukan semata untuk keuntungan, Petronas boleh bergerak mencari keuntungan tetapi keuntungan itu adalah mesti digunakan untuk rendahkan harga minyak Malaysia, bukan hanya untuk rekodkan keuntungan dan berbangga dengan keuntungan besar itu tetapi tak mahu gunakan wang itu untuk rakyat," ujar Husam.

Menurut Husam, Petronas hanyalah pengawal kepada sumber minyak yang sebenarnya ialah milik rakyat, dan Petronas tidak boleh kata sumber minyak dan keuntungan itu milik mereka.

Ini kerana keuntungan itu sebenarnya perlu digunakan gunakan untuk melindungi harga kerana pemilik asalnya adalah negara iaitu rakyat Malaysia, ujarnya.

Menurut Husam, keuntungan Petronas kini mencapai berlipat kali ganda lebih-lebih lagi kini Petronas berkembang di luar negara dan rizab Petronas diluar negara ialah 3.2 kali lebih tinggi jumlah 'replacement ratio dalam negara (1.8),

"Maknanya jika sekarang kita guna 1 liter, kita ada Replacement Ratio 3.2 kali ganda lagi pada kadar rizab kini," ujarnya.

Kemudian jika dilihat kepada rekod Petronas berdasarkan laporan tahunannya, hasilnya sentiasa meningkat dari setahun ke setahun, katanya.

Pada tahun 2006, keuntungan selepas cukai ialah RM43 bilion, sedangkan harga minyak dunia ketika itu ialah USD65 (satu tong), katanya.

"Sekarang harga minyak naik lebih USD130 satu tong, tentunya Petronas akan mendapat keuntungan yang lebih lagi.

"Pada tahun 2007 pula keuntungan bersih Petronas ialah 46.4 bilion.Dalam laporan tahunanya pendapatan besarnya disumbangkan oleh minyak yang telah dijual kepada orang ramai melalui stesen-stesen minyak (domestics) iaitu RM62.7 bilion pada tahun 2007.Ini bermakna minyak yang dijual Petronas kepada orang ramai menjadi sumber pendapatan terbesar Petronas," katanya.

Selain itu harga minyak Malaysia 30 peratus lebih tinggi berbanding minyak yang Petronas import kerana minyak yang dihasilkan di Malaysia ada kualiti yang lebih baik dan harga yang lebih tinggi, katanya.

"Bermakna di atas kualiti minyak ini, kita akan dapat lebihan pendapatan berbanding harga minyak yang kita beli pada pasaran dunia untuk kegunaan domestik tadi, katanya.

Ini semua membuktikan Malaysia mampu memberi subsidi kepada rakyat untuk mengekalkan harga pada kadar yang rendah dan dengan itu mengurangkan beban rakyat jelata dan membolehkan rakyat ada cukup wang untuk dipusingkan dalam ekonomi, katanya.



Harga minyak: Husam sanggah daleh Abdullah


Mohd Rashidi Hassan
Mon | Apr 17, 06 | 4:17:34 pm MYT

NAIB Presiden PAS, Husam Musa yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan begitu terkilan dengan kelemahan dan kegagalan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mengemudi ekonomi negara sehingga menyebabkan rakyat semakin terhimpit dan sengsara. Ahli politik yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi Universiti Malaya ini mengupas persoalan yang mencengkam minda masyarakat dalam wawancara beliau bersama Mohd Rashidi Hassan.

HARAKAH: BN dakwa PAS menggunakan isu kenaikan harga minyak untuk tujuan politik.
HUSAM: Ini isu kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara, lebih daripada isu politik. Semua lapisan rakyat terjejas, terutama yang berpendapatan rendah. Bagi yang bergaji RM1,500 sebulan, tambahan perbelanjaan RM70 sebulan bermakna 5% pendapatan mereka hangus dengan kenaikan ini.

RM70 tidak cukup untuk menampung tambahan perbelanjaan untuk minyak motor atau kereta kancil mereka, kenaikan tambang sekolah dan kenaikan harga barang keperluan. Ramai rakyat berpendapatan tidak sampai RM1,500 pun. Mereka rasa beban ini berat.

PAS juga dituduh menghasut rakyat.
Kalau PAS tak ada di Malaysia pun rakyat tetap marah dengan kenaikan besar yang mendadak ini. Ramai pemimpin BN sendiri tak setuju, bukan semua setuju seperti Ahli Parlimen BN Pasir Puteh. Tengku Razaleigh Hamzah pun tak setuju. Dr Mahathir kata ada cara lain, bukan cara naik harga.

Nak kata rakyat marah kerana PAS hasut, tak betul sama sekali. Kita tak setuju kenaikan ini kerana ia menjejaskan semua sektor ekonomi. Namun kita beri jalan penyelesaian, kalau-kalau kerajaan nak terima formula kita, supaya ekonomi tidak teruk terjejas. Kita sangkal hujah kerajaan kerana ia mengelirukan dan tidak tepat.

Apa formula PAS?

Lihat angka-angka mengenai minyak negara kita. Petronas dah kaut untung bersih, bukan untung kasar tapi untung bersih sehingga 2004 sebanyak RM164 bilion. Ini kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada November 2005.

Tahun 2005, untung bersih RM35.5 bilion. Enam bulan pertama tahun kewangan sekarang, untung bersih naik RM20.8 bilion. 164 campur 35.5 campur 20.8, jumlah untung bersih Petronas hingga kini RM221 bilion! Nak belanja untuk rakyat 4 bilion setahun susah?

Pecahan untung bersih Petronas seperti berikut:
Tahun Untung
1999 RM6.808b
2000 RM12.608b
2001 RM16.488b
2002 RM14.569b
2003 RM15.105b
2004 RM23.659b
2005 RM35.556b
enam bulan pertama 2006 RM20.8b

Kenapa keuntungan meningkat? Kerana harga minyak dunia naik. Maknanya, kenaikan harga minyak dunia telah meningkatkan keuntungan Petronas. Bila untung Petronas naik, kutipan hasil kerajaan dari Petronas juga naik. Minyak kita jadi macam pelampung ekonomi negara. Bila air naik, pelampung naik. Bila minyak dunia naik, keuntungan kita naik. Keuntungan itu kita cadang kerajaan guna untuk faedah rakyat. Petronas mampu dan tak terjejas.

Jadi kerajaan tidak berterus terang?
Kerajaan menyembunyikan angka yang sebenar. Itu bahagian yang diperolehi kerajaan melalui cukai, dividen dan royalti. Bahagian Petronas masih besar iaitu bagi 2006, keuntungan bersih mungkin sampai RM40 bilion. Nak belanja RM4 bilion daripada RM40 bilion ini untuk ringan beban rakyat, Petronas rasa berat?

Sekalipun kerajaan mahukan RM23 bilion bersih untuk pembangunan dan tak mau tanggung 4.4 bilion tambahan melalui kenaikan 30 sen itu, beban itu boleh ditanggung Petronas dan bukannya rakyat jelata dan ekonomi negara secara keseluruhan.

Jadi saudara cadangkan beban ini dipindah pada Petronas?
Petronas boleh berbelanja untuk Formula One berbilion ringgit setiap tahun. Petronas boleh berbelanja ke atas Putrajaya berpuluh bilion. Petronas pernah selamatkan Bank Bumi berbilion ringgit. Adakah satu masalah untuk Petronas guna sebahagian kecil keuntungannya dari khazanah negara milik semua rakyat untuk elakkan beban rakyat? Tentu boleh. Beban itu patut ditanggung Petronas. Lagipun, Petronas ditubuhkan, antara lain ialah untuk menstabilkan harga bahan bakar di negara ini.

Hujah kerajaan nak guna keuntungan Petronas untuk melabur sangat tidak masuk akal dan tidak bersifat kasihan belas. Pelaburan Petronas bertujuan beri faedah pada rakyat, bukan setakat melabur dan melabur. Sekarang antara masa faedah pelaburan itu dikembalikan pada rakyat.

Ada lagi fakta yang mengelirukan diberikan oleh kerajaan?
Kerajaan bercakap mengenai kehabisan pengeluaran minyak negara. Walau apa istilah yang digunakan, gambaran yang cuba diberikan pada rakyat ialah minyak kita akan habis tak lama lagi. Maka kononnya kita kena bersiap untuk harga tanpa subsidi. Tak ada lagi zaman minyak harga murah. kerajaan tak ada pilihan. Kerajaan terpaksa.

Sebenarnya, rizab minyak negara kita ialah sebanyak 5.29 bilion tong dan ini boleh kekal untuk 19 tahun lagi. Ini diberitahu Perdana Menteri di Dewan Rakyat November tahun lalu. Itu belum ambil kira penemuan telaga-telaga baru seperti Telaga Pisagan 1A dan lain-lain. Juga tak termasuk penemuan rizab gas yang baru.
Kerajaan berikan gambaran itu supaya rakyat telan tindakan kerajaan kerana takut minyak dah nak habis.
Kerajaan beri gambaran yang salah melalui perbandingan harga minyak dengan negara jiran. Perbandingan dengan Singapura umpamanya, tidak tepat untuk kata minyak kita RM1.92 seliter lebih murah dari RM4.15 seliter di Singapura.

Ini kerana pendapatan rakyat kita berbanding Singapura tak sama. Purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rakyat Singapura ialah USD29,700 dan ini tiga kali ganda purata KDNK rakyat Malaysia kita sebanyak USD10,400.

Kalau berasaskan pendapatan purata mereka, minyak di Singapura patut berharga hampir 6 ringgit seliter. Jadi secara berbanding, harga minyak mereka lebih murah dalam ukuran kuasa beli rakyat mereka.

Lagipun, Singapura tak ada keluar minyak dan jarak perjalanan mereka pendek. Kita, perjalanan KL�Alor Star umpamanya, bukan dekat. Tambah tol lagi. Di Thailand, lebuh raya utama perjalanan jauh tak ada tol. Ini semua kos selain minyak dan kerajaan kena ambil kira sebelum buat perbandingan macam itu.

Wang 4 bilion diperuntukkan untuk pengangkutan awam. Apa komen saudara?
Ini lagi tidak adil dan tidak munasabah. Apa sebab rakyat di pedalaman Sarawak yang masih menggunakan bot sebagai pengangkutan utama terpaksa membiayai pembinaan pengangkutan awam untuk orang Kuala Lumpur dengan kenaikan ini?

Apa hal pula rakyat Kelantan, Terengganu dan Perlis umpamanya? Apa pengangkutan awam yang akan dibaik pulih di negeri mereka dengan wang 4 bilion tadi? Kalau tak ada, mereka tolong negeri lain dengan membayar harga lebih mahal dan adakah ini adil?

Pengangkutan awam adalah penting tetapi adalah tidak wajar rakyat menjadi terbeban kerana kerajaan tak tau cari jalan lain untuk dapatkan wang bagi buat perkara itu. Lagipun semua pengangkutan awam bukannya percuma, rakyat terpaksa membayar apabila hendak mengunakannya kelak.

Ini hanya gula-gula untuk sejukkan rakyat selepas kerajaan rampas nikmat harga murah dari kita semua.
Kita juga bimbang, apa yang dikatakan perbelanjaan pengangkutan awam tadi ialah untuk kroni-kroni dapatkan projek.

Apa sebab saudara kata begitu?

The Star keluaran 18 Mac, ruangan Biz week melaporkan anak syarikat Scomi, Scomi Engineering akan mendapat sekurang-kurangnya dua projek di bawah peningkatan pengangkutan awam. Satu, Scomi Engineering memasuki tawaran untuk membina badan bas sebanyak 400 buah untuk Syarikat Prasarana milik kerajaan. Nilai projek ialah RM120 juta.

Kedua, workshop keretapi syarikat ini telah siap untuk kerja-kerja baik pulih 1,500 gerabak kepunyaan KTM dan ini mungkin meningkat kepada penyelenggaraan 3,500 gerabak setiap tahun.

Kita semua tahu Scomi milik siapa. Kenapa Scomi begitu istimewa?

Itu belum masuk cerita MAS. Mas perlu 4 bilion tahun ini. RM2 bilion mesti datang dari kerajaan. Selagi kebocoran seperti ini tidak dibaiki, kita semua menjadi mangsa. Tahun lepas MAS rugi 1.2 bilion. Tahun ini, dijangka MAS rugi lagi lebih satu bilion.

MAS beli lukisan dengan harga begitu mahal. Bila diberitahu, Perdana Menteri minta perkara ini dilapor pada pengurusan MAS. Sikap sambil lewa terhadap pembaziran dan penyelewengan yang berlaku dalam Negara ini menyebabkan rakyat akhirnya menanggung beban.

Jadi, apa cadangan saudara?
Saya cadangkan, demi kebaikan rakyat dan negara, kerajaan kena turunkan semula harga minyak. Kerajaan boleh naikkan sedikit cukai petroleum ke atas Petronas untuk menampung sejumlah yang diperlukan bagi mengekalkan harga minyak pada harga asal.

Kalau tidak, reputasi Pak Lah dan Najib tak akan dapat dipulihkan dan rakyat kita menderita kerana keputusan yang salah pada waktu yang salah.

Harga barang tak akan dinaikkan untuk elak kesan kepada pengguna.
Semua rakyat tahu ini tidak logik. Kerajaan sendiri tak boleh tahan untuk naikkan harga minyak ini. Tarif elektrik juga akan dinaikkan.

Rakyat diminta serap kenaikan harga minyak tetapi kerajaan sendiri tak mahu berbuat demikian. Mana nilai moralnya?

Kalau betul kerajaan tak mahu harga barang naik, kena tunjuk contoh dengan tidak naikkan harga minyak. Kata-kata Pak Lah, tak ada sebab teh tarik kena naik harga, betul-betul mempermainkan rakyat. Kenaikan kos hidup adalah kesan selari dari kenaikan harga minyak dan ini semua orang tahu. Takkan Perdana Menteri tak tahu? Selain kos langsung, penjual teh tarik juga perlukan tambahan pendapatan untuk biayai kos hidupnya yang meningkat selari dengan kenaikan harga minyak.

Sepatutnya, dengan kekayaan kita yang ada, kalaupun tidak kesihatan percuma, pendidikan mesti percuma. Ini untuk menyediakan biasiswa bagi pelajar cemerlang pengajian tinggi pun Kerajaan BN tidak mampu.
Kita perlukan suara rakyat yang lebih berkesan untuk hentikan segala jenis penyelewengan yang akhirnya merugikan negara kita seperti yang berlaku sekarang.

Jumaat

Wanita

Wanita ibarat barang perhiasan yang paling berharga, letaknya di atas alas kain yang indah di dalam sebuah peti simpanan yang tahan dan kukuh, hujahnya, bagi mempertahankan dan melindungi mereka serta yang terpenting menunjukkan ketinggian nilai mereka, maka di dunia ini mereka perlu menyembunyikan aurat mereka dari tatapan umum agar nilai mereka tidak akan pudar.