"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Rabu

Muzakarah, Muqabalah atau Mu Ngelabah



Panas! Panas! Panas! ... Makin panas lagi apabila beberapa orang kuat Pakatan rakyat dan Barisan Nasional sendiri tidak tentu arah memberi pendapat tentang isu Muzakarah dan Muqabalah ini. Masing-masing dengan hujah masing-masing, entah siapa betul dan siapa yang lebih betul.

Kegawatan ini terserlah menutupi semua isu dan bencana yang lain yang pernah berlaku di tanah air seperti salji yang menutupi dedaun pokok, tidak terkesan dimana duri yang menanti.

Bermula dengan isu Muzakarah menjadi cecabang dalam beberapa isu yang menguji hati nurani pengikut dan pendokong Islam itu sendiri.

Terserlah istilah Arab yang sudah lama tidak didengar di media negara, membicarakan tentang Muzakarah yakni berbincang, bertukar fikiran dan menyatakan padangan pada sesuatu isu di sertai hujah Naqli & Aqli. Bagaimanapun istilah ini dianggap pengkhianatan apabila yang menggunapakainya adalah PAS dan UMNO. Adilkah begitu?

Sedangkan PAS telah lama mengajak UMNO bermuzakarah tetapi keadaan dan situasi semasa yang menjadikan istilah itu buruk dan keji. UMNO cuma bersedia untuk bermuzakarah di saat roh UMNO sedang meronta-ronta untuk meninggalkan jasadnya, kenyataan Pak Lah yang menimbulkan kegawatan ini menjadi bukti bahawa UMNO memang ternyata tidak ikhlas.

Maka sekonyong-konyong itulah maka pelbagai penghinaan dan makian dilemparkan kepada pimpinan PAS seolah mengkhianati penyokong dan ahli. Inikah yang dinamakan keterbukaan. Malang sungguh. Bermuzakarah antara keduanya, adakah membuktikan PAS akan masuk UMNO? sedangkan UMNO masih dengan sikap munafiknya.

Berkat kebijaksanaan Tuan Guru Nik Aziz maka istilah Muqabalah yakni bersemuka pula timbul bagi mengalih kebencian kepada istilah Muzakarah. Istilah ini alhamdullilah dapat mengurangkan tekanan kepada pendokong PAS itu sendiri.

Malangnya apabila saya melayari laman web beberapa blogger tertentu, nampaknya mereka masih terus menabur benih kebencian pada PAS. Bila diamati lagi, jelas kurangnya ilmu agama dan kekuatan akidah terhadap Islam dalam tulisan mereka. Kalau PAS memang ingin bergabung dengan UMNO, maka telah lama PAS berbuat sedemikian. PAS tetap memperjuangkan Islam bukan kebangsaan. Tidakkah mereka ketahui bahawa Allah SWT berfirman

"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Itulah intipati dan pemberi keyakinan kami tentang perjuangan PAS sejak dari dahulu lagi. Mungkin mereka menganggap Tuan Guru Haji Hadi kurang bijak berpolitik, adakah dengan cara memaki hamun seorang kepimpinan dapat menyedarkan beliau. Ini bukan rumah UMNO, kita boleh menegur pemimpin dengan cara yang berhikmah, sekurang-kurangnya hormatlah sedikit beliau sebagai seorang ulama.

Kegawatan yang berlaku bukanlah disebabkan dari ahli PAS yang yang mempunyai fikrah dalam memperjuangkan Islam tetapi lahir dari hati yang terumbang ambing dan mereka yang bertopengkan PAS, padahal mereka tidak ketahui bahawa menghancurkan PAS bererti menghancurkan perjuangan risalah Allah itu sendiri.

Tuan Guru Nik Aziz sekali lagi membalikkan tuduhan dan kesempitan pemikiran mereka yang tertentu dengan mencabar UMNO untuk bubar dan PAS juga akan bubar bagi membentuk parti baru. Bagi sesetengah orang, mungkin beranggapan PAS memang ingin bergabung dengan UMNO. Sebangang-bangang UMNO mereka tidak akan bubar melainkan dibubarkan dan itu telah terbukti dan menjadi sejarah hitam dalam UMNO itu sendiri.

Memegang jawatan dalam UMNO perlu menghabiskan sejumlah wang yang besar untuk kekal di jawatan yang kukuh dan empuk. Berbalik pada PAS, kerja ikhlas untuk kemenangan Islam lebih penting berbanding jawatan dalam parti. Adakah UMNO sanggup korbankan jawatan mereka yang empuk itu untuk diberi kepada beberapa pimpinan PAS yang tak keluar modal. Secara logiknya, tidak mungkin sama sekali.

Selagi perjuangan PAS itu adalah Daulah Islamiah maka, kami tidak akan gentar sama sekali dengan tohmahan dan fitnah serta tribulasi dari sesiapa pun kerana kami yakin dengan janji Allah itu.
Muzakarah atau Muqabalah atau kamu yang mengelabah....

Tiada ulasan: