"Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia (Allah) akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu". Surah Muhammad : Ayat 7.

Isnin

Ajaran Islam bukan sekadar di Masjid; Sekadar bicara santai

Alangkah bagusnya kanak-kanak di sebuah Maahad Tahfiz, baru berusia lingkungan 6 hingga 12 tahun sudah menghafaz Al-Quran dan ada yang bergelar "al-hafiz". Walaupun hakikatnya ramai dari segolongan sebaya mereka masih lekat di rumah, bermanja dengan keluarga, riuh rendah dengan jerit pekik, ketawa lucu dengan telatah cerita kartun di kaca TV dan asyik dengan mainan PS2, tetapi mereka di sini tiada semua itu. Tujuannya hanya satu, menghafaz Al-Quran. Itu bukan bererti tiada hiburan, ada juga waktu beriadah di kala petang.

Saya teringat bagaimana ketika masih di zaman persekolahan, ketika pulang dari sekolah, saya sempat singgah di surau berdekatan rumah untuk solat Asar. Seorang pakcik bertanya, "Hang sekolah kat mana?". Saya menjawab, "Alawiyah". Pakcik itu spontan berkata, "Ooo, esok hang besar boleh jadi Tok Siak atau Pak Lebai". Saya hanya diam saja.

Rupanya, pada saat ini pemikiran sebegitu masih wujud lagi dikala ramai hasil lepasan sekolah agama di seluruh tanah air sudah bergelar Peguam, Doktor, Pensyarah, Ahli Perniagaan dan Pekerja Profesional yang lain.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini ialah betapa pentingnya didikan agama di peringkat awal pendidikan, bukan bermakna belajar agama ini seolah-olah tiada masa depan selain hanya menjadi ahli di Masjid. Tidakkah mereka yang mengajar di masjid itu lebih mulia, rezeki itu Allah yang tentukan, mereka benar-benar redha dengan tugas amal mereka dan mereka terus bertawakkal sebagaimana firman Allah di dalam surah At-Talaq "dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu".

Sebagai pekerja, idea dan kepakaran perlulah selari dengan kekuatan rohani dan akidah yang mantap. Islam amat memerlukan profesional yang beriman bagi menjana kekuatan sesebuah negara. Bukankah sebelum ini telah ramai tokoh-tokoh Islam yang lahir seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, Umar Kayyam, Kwarizmi dan banyak lagi. Mereka ini bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing malah mereka juga sebagai ulama di zaman mereka. Idea dan kepakaran mereka bukan sahaja terkenal di dalam dunia Islam bahkan barat sendiri kagum dan menerimapakai idea dan kepakaran mereka itu. Bak kata Tuan Guru Nik Aziz yang mengatakan bahawa ulama berperanan sebagai sebuah Hypermarket, semua ada.

Bukan salah mereka sebelum ini yang mengatakan Islam hanya terhad kepada bidang ibadat sahaja. Ini kerana mereka telah dihadkan pengetahuan mereka oleh sebahagian manusia yang tamakkan kuasa yang berterusan. Mereka inilah yang cuba menyembunyikan ajaran sebenar dengan mengganggu majlis ilmu, mengharamkan tazkirah, menutup masjid dan surau, menyusahkan permit majlis ceramah dan pelbagai lagi halangan bagi menyusahkan rakyat umum mendapat ajaran sebenar. Tujuannya hanyalah bagi kepentingan politik mereka.

Pernah satu ketika saya berbalah pendapat dengan seorang jemaah di sebuah masjid, dia cukup marah bila saya kaitkan generasi muda kini dengan masalah kepimpinan negara. Baginya, tiada kaitan antara politik dan masjid. Hujah saya ketika itu, "Maaf syiekh, saya dulu anak kariah Masjid Bangsar, kami solat tetapi berdekatan dengan pusat hiburan yang penuh kontroversi, maaf cakap, budak Melayu perempuan, pakai baju macam tak pakai je. Dikepit pula oleh Mat Salleh". Dia kata, "Itulah kita kena mengimarahkan masjid" ujarnya ringkas. Saya kata,"Kita dah cukup mengimarahkan masjid tapi tak berkuasa menegur mereka, silap-silap didakwa menganggu ketenteraman awam plak'. Dia kata pula, " Dah tu, report la kat pihak berkuasa atau pemimpin kawasan tu'. Ketika itu saya terus berkata kepadanya, "itulah syiekh, kalau dah pemimpin kawasan tu pun 2 X 5 dengan mereka, apa kita nak buat melainkan kita ambilalih kuasa dari pemimpin kawasan tu la untuk tutup, bukankah Saidina Uthman pernah berkata," Dengan kuasalah kita boleh mengubah sesuatu" kalau harap report je, tak jalan". Dia merenung ke atas memikir sejenak dan terus berlalu. Semoga Allah menguatkan dia dalam jemaah Islam, insyaallah.

Konsep dakwah ini sebenarnya amat luas, pendakwah itu bukan terhad kepada imam dan ahli masjid sahaja bahkan semua manusia yang beragama Islam dan yang terpenting beriman adalah tertakluk dalam kerja dakwah ini. Bukan sekadar kuliah dan ceramah di masjid bahkan kerja dakwah ini juga boleh dilakukan ketika aktiviti sukan dan riadah, berborak dengan rakan-rakan, mesyuarat dan dalam pengurusan sesebuah organisasi juga. Untuk tujuan itu ilmu agama amat penting dituntut. Tidakkah Islam sudah menerangkan "sampaikan olehmu walaupun satu ayat".

28 Apr 08





Tiada ulasan: